20/08/2026
JTNCHEPA Anjur Brisk Walk dan Plogging Semarakkan Semangat Merdeka
20 Ogos 2026 โ Dalam usaha memperkasa amalan kelestarian serta menggalakkan gaya hidup sihat bersempena Bulan Kebangsaan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Brisk Walk & Plogging Merdeka yang melibatkan seramai 72 orang terdiri daripada staf JTNCHEPA, Jabatan Bendahari dan Jabatan Canseleri. Program turut disertai oleh Pengarah UTMXCITE, Prof. Madya Dr. Syed Norris Hikmi Syed Abdullah, Pengarah Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) En. Rizam Rahmat, Pengetua Kolej 9 & 10, Prof. Madya Ts. Dr. Abd. Rahman Tamuri, Timbalan Pendaftar Seksyen Kemudahan Kebajikan dan Tatatertib Pelajar (SKKT), En. Masnawi Miskam, dan Timbalan Pendaftar UTMXCITE, En. Syamsul Azli Shamsuray.
Program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, memupuk kecintaan terhadap tanah air serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga UTM. Pada masa yang sama, aktiviti ini turut menjadi platform untuk menerapkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar melalui aktiviti plogging.
Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pentadbiran (HEPA), Encik Mohd Herme Yusman Mohd Tahir, menegaskan bahawa penganjuran program ini merupakan salah satu usaha untuk menghayati dan mengenang jasa, pengorbanan serta jerih payah para pejuang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membebaskan tanah air daripada penjajahan. Program kemudiannya dimulakan dengan alunan lagu-lagu patriotik sambil peserta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol semangat dan kecintaan terhadap negara. Suasana bertambah meriah apabila para peserta mengenakan pakaian bertemakan warna-warna Jalur Gemilang yang mencerminkan semangat jiwa merdeka.
Seterusnya, para peserta menyertai aktiviti brisk walk dan plogging sejauh 1.4 kilometer yang bermula dari Dataran Agora menuju ke Bangunan PALAPES UTM. Aktiviti tersebut bukan sahaja menggalakkan amalan hidup aktif dan sihat, malah memberi peluang kepada peserta untuk bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran sepanjang laluan.
Setibanya di Bangunan PALAPES UTM, para peserta telah disambut oleh Timbalan Komandan PALAPES Darat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Ali Khan, Ketua Jurulatih PALAPES, Mej. Mohd Fadlan Yusoff, Ketua Cawangan Latih PALAPES, Mej. Mohd Syawal Mohamed Abdul Fatah, serta barisan pegawai kadet. Sepanjang kunjungan tersebut, para peserta berpeluang menyaksikan pelbagai aktiviti dan demonstrasi berkaitan ketenteraan, antaranya pertunjukan kawad kaki oleh pegawai kadet, demonstrasi tarian pedang serta demonstrasi penyediaan Ransum Tempur Bekalan Kering (RTBK) di medan. Para peserta turut dibawa melihat dekorasi dan pelbagai elemen bercirikan ketenteraan yang disediakan, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih interaktif, menarik dan bermakna dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta menghargai peranan dan sumbangan pasukan PALAPES.
Program ini diharapkan dapat terus menjadi wadah dalam menyemai semangat patriotisme, memperkukuh ukhuwah dan membudayakan amalan lestari dalam kalangan warga UTM sekali gus menyokong SDG 3 (Good Health and Well-being), SDG 4 (Quality Education), dan SDG 11(Sustainable Cities and Communities).
Penulis: Zuraidah Isa