10/05/2022
Alhamdulillah, sebulan sudah kita semua berjaya melepasi bulan Ramadan. Allah mendidik hambanya dengan ibadah puasa iaitu suatu ibadah yang dilaksanakan dengan kepatuhan dan ketaatan walaupun tanpa diketahui oleh orang lain.
Lalu seharusnya keluar sahaja dari bulan Ramadan, taqwa kita semakin bertambah.
Adakah hari ini kita semakin bertaqwa?
Besarnya ganjaran Allah kepada orang berpuasa sehinggakan ada ganjaran yang khusus dikurniakan. Mereka yang mempunyai keimanan yang kental saja mampu melaksanakannya, sebaliknya amat sukar bagi mereka yang goyah dan mudah mengikut hawa nafsu.
Rasulullah bersabda:
"Setiap amalan anak Adam, pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Akulah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya."
(Sahih Muslim, hadis no.1952)
Imam al-Munawi menghuraikan Hadith tersebut:
"Orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT."
(Faidh al-Qadir: 4/250)
Masya Allah, baiknya Allah. Rahmatnya Allah. Kasihnya Allah kepada kita.
Bahkan, pahala puasa setahun juga Allah sudah sediakan bagi sesiapa yang menyambung puasa 6 di bulan Syawal.
Rebutlah peluang ini. Semoga Allah kurniakan kita pahala yang berganda ganda!
Usah lunturkan semangat Ramadan yang lalu.
Ikuti Akademi Alshareef Malaysia untuk program-program kolaborasi Malaysia-Turki dalam Bahasa Arab dan Syariah.