04/08/2026
[PROGRAM MISSION SPOTLESS]
Berteraskan semangat keprihatinan terhadap kebersihan dan keselesaan kediaman pelajar, Program Mission Spotless telah berjaya dilaksanakan sepanjang 17 November 2025 hingga 26 Julai 2026 di sekitar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia. Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Kediaman dan Kebajikan, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee Sesi 2025/2026 dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee, Universiti Putra Malaysia.
Mengangkat konsep pemantauan kebersihan secara holistik dan berterusan, program ini menjadi platform untuk memastikan setiap rumah sentiasa berada dalam keadaan bersih, kemas, dan selesa untuk didiami. Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek persekitaran yang sihat, malah turut memupuk nilai tanggungjawab, kerjasama, serta disiplin kendiri dalam kalangan penghuni kolej.
Sebagai jentera penggerak program, seramai 301 orang Ketua Kebersihan Rumah telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa pemantau bagi mengendali sistem spotcheck secara berkala serta laporan bergambar setiap dua minggu. Melalui komitmen yang utuh, program ini telah memberi impak secara langsung kepada seramai 1,200 orang penghuni Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dalam menyemai budaya kebersihan sebagai sebahagian daripada gaya hidup seharian.
Secara keseluruhannya, Program Mission Spotless berjaya mencapai objektifnya melalui penglibatan aktif warga kolej serta pembentukan budaya kebersihan berterusan dalam komuniti kampus. Program ini membuktikan bahawa amalan disiplin dan kebersihan yang dipupuk secara bersama mampu memberi impak yang bermakna dalam menyokong kesejahteraan hidup pelajar.
'Berilmu, Bertaqwa, Berjasa'
Sekretariat Kediaman dan Kebajikan
Majlis Perwakilan Kolej
Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee
Sesi 2025/2026
Universiti Putra Malaysia