20/12/2025
Pada pagi semalam telah diadakan Liqa' Mahabbah Jemaah Imam Muda SMK Wangsa Melawati Tahun 2025 bersama guru-guru Pendidikan Islam, penyelaras-penyelaras program keagamaan dan seluruh keluarga besar Jemaah Imam Muda bertempat di Bilik Mesyuarat Iltizam sebagai penutup lembaran tahun ini bagi bidang kerohanian serta pembangunan adab dan nilai di SMK Wangsa Melawati.
Nama Liqa' Mahabbah membawa maksud "Pertemuan Kasih Sayang", di mana majlis ini direalisasikan dengan matlamat untuk merapatkan ukhuwah antara satu sama lain di samping menghargai kerja keras, dedikasi, komitmen dan keringat yang telah dicurahkan oleh semua pihak dalam menjayakan program kerohanian, dakwah, pembangunan adab dan nilai SMK Wangsa Melawati sepanjang tahun 2025.
Majlis ini dibuka dengan alunan tilawah ayat ke-53 surah al-Zumar oleh saudari Nur Saidatul Husna binti Mohd Saiful yang membawa maksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Usai bacaan doa, saudara Muhammad Syabil bin Sakri, Ketua Imam Muda Sekolah, Jemaah Imam Muda telah menyampaikan amanat dan kata-kata akhir kepada warga Jemaah Imam Muda dan juga guru-guru yang hadir.
Dalam majlis sama, Panitia Pendidikan Islam telah berbesar hati menyampaikan cenderamata kepada Guru Penyelaras Jemaah Imam Muda, penyelaras-penyelaras program keagamaan dan warga tingkatan lima Jemaah Imam Muda yang akan dan telah menamatkan perkhidmatan serta alam persekolahan.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung terhadap agenda pembangunan karakter Karamah Insaniah (Kemuliaan Insan) dalam kalangan murid SMK Wangsa Melawati menerusi pembentukan akhlak, adab dan integriti.
Semoga usaha dakwah ini dapat diteruskan seraya diperkasakan lagi demi menghasilkan modal insan berilmu, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia selari dengan nilai-nilai Islam.
Fastabiqul khairat, berbakti demi ummah!