18/07/2026
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT.
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan izin-Nya, Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Agama Negeri (MIISAN) Peringkat Bahagian Pedalaman Atas 2026 yang telah berlangsung pada 11 Julai 2026 berjaya dilaksanakan dengan penuh kelancaran. Kami amat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan peluang menjadi tuan rumah majlis ini di SAN Kg. Chinta Mata, Tenom.
Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang telah menghulurkan sumbangan serta sokongan dalam menjayakan majlis ini, khususnya:
- YB Datuk Hj Jamawi Jaafar, yang juga selaku Perasmi Majlis
(diwakili oleh PPMD Daerah Tenom)
- YB Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi
- YB Datuk Azman Hj. Ruslan
- YB Tuan Riduan Rubin
Segala sumbangan, keprihatinan dan sokongan yang diberikan amat kami hargai serta menjadi pemangkin kepada kejayaan program ini.
Sekalung penghargaan turut diucapkan kepada Penyelia Pendidikan Bahagian Pedalaman Atas Ustaz Nasarudin Manan atas bimbingan, sokongan dan kepercayaan yang diberikan sepanjang penganjuran majlis ini. Tidak lupa juga kepada Nazir Pedalaman Atas Ustaz Sahudin Ajamain yang turut meluangkan masa turun untuk turut serta hadir memberi sokongan ke majlis ini
Seterusnya, ribuan terima kasih kepada seluruh hakim-hakim jemputan luar khususnya yang terdiri daripada guru-guru KPM Daerah Tenom dan seorang daripada KPM Keningau, guru-guru KAFA Daerah Tenom, Imam Daerah Tenom, dan juga Jurulatih Nasyid Kebangsaan dan tidak lupa juga semua guru-guru besar, guru-guru SAN Bahagian Pedalaman Atas yang telah memberikan kerjasama, komitmen dan pengorbanan dari peringkat perancangan, persiapan dan perjalanan sehingga selesai majlis.
Ucapan penghargaan yang tidak terhingga juga kepada KEMAS Daerah Tenom selaku "team pentas" nama yang sudah tidak asing lagi dalam sentuhan menghias pentas utama. Kreativiti, komitmen dan sentuhan istimewa yang diberikan telah menghasilkan pentas yang begitu gah, indah dan memukau, sekali gus menyerlahkan lagi kemeriahan majlis.
Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Kumpulan Nasyid Aidan, kumpulan yang mewakili Negeri Sabah ke IFest Peringkat Kebangsaan 2025, atas persembahan yang begitu memukau menambahkan lagi seri majlis. Lebih membanggakan, kumpulan ini dianggotai oleh beberapa orang guru Sekolah Agama Negeri Bahagian Pedalaman Atas serta pada masa yang sama, sebahagian daripada ahli kumpulan ini turut memainkan peranan sebagai hakim jemputan MIISAN Peringkat Bahagian Pedalaman Atas 2026.
Tidak dilupakan, jutaan terima kasih kepada pihak PIBG, YDP PIBG Tuan Razali HJ Zamri yang selalu membantu memudahkan urusan, begitu juga dengan mantan YDP PIBG Tuan Piduman HJ Abd Majid, semua ibu bapa, penjaga serta murid-murid SAN Kg. Chinta Mata, Tenom yang telah bertungkus-lumus membantu dalam pelbagai aspek, termasuk perancangan, persiapan, penyediaan kemudahan dan memastikan perjalanan majlis berlangsung dengan lancar.
Penghargaan istimewa juga kepada pasukan menghias venue yang terdiri daripada ibu bapa dan penjaga yang telah bertungkus-lumus menyediakan, menghias dan menceriakan setiap venue pertandingan. Pengorbanan masa, tenaga dan kerjasama yang diberikan sepanjang persiapan sehingga tamatnya majlis amat kami sanjungi.
Akhir sekali, semoga setiap keringat, masa, tenaga, idea, sumbangan dan jasa yang dicurahkan menjadi amal soleh yang diterima di sisi Allah SWT. Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan dengan ganjaran yang berlipat ganda, mengurniakan kesihatan, keberkatan rezeki, kebahagiaan buat seluruh keluarga serta terus mengeratkan ukhuwah dalam usaha memartabatkan pendidikan Islam.
Jazakumullahu khairan kathiran
Semoga Allah SWT memberkati kita semua dan menerima segala usaha ini sebagai amal kebajikan.
Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.