14/09/2026
Tahniah Kepada Graduan Terbaik Keseluruhan ILKBS 2026
Muhammad Haffiz Bin Rahim Pelajar Jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif Penyelenggaraan.
Sinopsis Kejayaan Graduan Terbaik Keseluruhan
Dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur pada 15 Mac 2001 dan dibesarkan di Bentong, Pahang, Muhammad Haffiz bin Rahim merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik. Beliau dibesarkan dalam acuan keluarga yang meletakkan disiplin, tanggungjawab, dan semangat patriotisme sebagai paksi utama.
Darah kepimpinan dan ketahanan mental beliau mengalir daripada ketegasan bapanya, seorang anggota tentera berpangkat Pegawai Waran I, serta kelembutan penuh dedikasi ibunya yang berkhidmat sebagai seorang jururawat. Latar belakang inilah yang menjadi nubari dan inspirasi utamanya dalam membentuk jati diri yang kukuh, berprinsip, dan sentiasa bersedia berkhidmat kepada masyarakat.
Beliau merupakan penuntut Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif Penyelenggaraan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh. Komitmen tinggi, disiplin yang jitu, serta kesungguhan dalam menguasai bidang teknikal telah membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang amat cemerlang.
Sepanjang tempoh pengajian, Muhammad Haffiz menyerlah sebagai seorang pemimpin muda yang matang, berintegriti, dan berdaya saing tinggi. Keupayaan luar biasa ini terbukti apabila beliau diberi kepercayaan menggalas amanah sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IKTBN Temerloh. Ketokohan beliau terus mekar melalui penyertaan aktif dalam Pertandingan Drone Soccer Peringkat Kebangsaan , Y-Robot Challenge , Klass CubPrix KBS, Program Eksplorasi Alam Peringkat Kebangsaan.
Demi membina karakter kepimpinan yang kalis cabaran, beliau telah menyertai Program Kapal Layar Diraja Tunas Samudera (KLD) sebuah wahana yang menuntut ketahanan fizikal, mental, dan semangat berpasukan yang tinggi. Atas dedikasi luar biasa dalam pembangunan sahsiah, beliau telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Pingat Emas dan Gold Award The Duke Of Edinburgh International Award.
Beliau juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program komuniti dan aktiviti sukarela, antaranya termasuklah Program Impak ILKBS dan misi bantuan pasca banjir. Sumbangan ini mencerminkan sifat empati yang tinggi serta kesediaan beliau untuk turun padang demi meringankan beban masyarakat yang memerlukan.
Di pentas akademik dan inovasi, kreativiti beliau terbukti apabila meraih Gold Medal dalam Pertandingan Inovation Development Through Educational Activities (I`DEA) serta di pilih sebagai Pembentangan Projek Terbaik bagi Projek Tahun Akhir beliau.
Mengintai ruang di peringkat antarabangsa, beliau turut menyumbang idea dalam Tsunami Awareness Short Video Competition yang melibatkan penyertaan strategik antara Malaysia, Indonesia, Myammar , Thailand, sekali gus mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kelestarian alam sekitar di peringkat global.
Beliau telah mengharumkan nama institusi apabila merangkul gelaran Johan Memanah Tradisional 3D Peringkat Antarabangsa bagi Kategori IPTA / IPTS di antara Malaysia , Singapura dan Indonesia.
Rentetan daripada penglibatan luar biasa dan impak besar yang dicorakkannya dalam pelbagai lapangan, beliau turut dinobatkan sebagai Tokoh Kokurikulum Unggul di Institut. Beliau juga Finalize Akhir bagi Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Pahang (kategori Individu) Anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang. Pencapaian demi pencapaian ini menjadi bukti nyata wujudnya keseimbangan yang holistik antara kecemerlangan intelek, sahsiah, dan jasmani dalam diri beliau.