08/05/2026
Hasil daripada Program Bahtsul Masail yang diketuai oleh Ustaz Yusri dan Ustaz Hj. Qomaruddin di Madrasah Darus Sholihin, para pelajar dididik untuk melihat bahawa satu kesilapan kecil dalam bacaan al Fatihah bukan sekadar kesalahan biasa, tetapi boleh menjadi perbahasan panjang para fuqaha demi menjaga sahnya solat seorang mukmin di sisi Allah. Begitulah telitinya Islam memelihara ibadah umatnya.
Di dalam program ini, para pelajar bukan hanya mencari jawapan hukum, tetapi belajar bagaimana ulama berfikir, meneliti khilaf, memahami illah, dan menghormati keluasan ilmu dalam mazhab. Satu masalah yang dianggap kecil oleh manusia rupanya telah dibahaskan berlembar lembar dalam kitab turath demi menjaga agama ini daripada kesilapan.
Semakin mendalami ilmu, semakin terasa kecil diri di hadapan lautan warisan para ulama. Kerana agama ini tidak diwariskan dengan sangkaan atau emosi, tetapi dengan disiplin ilmu, adab, dan pengorbanan para alim yang menghabiskan usia mereka demi memastikan umat mampu beribadah dengan benar hingga ke akhir zaman.