04/08/2024
4 Ogos 2024
Sepanjang pengalaman saya di SMK Mutiara Impian, saya berkesempatan menyaksikan secara langsung tiga kategori pelajar yang pernah saya pelajari dalam sebuah buku pedagogi pendidikan, iaitu:
1. Pelajar Visual
2. Pelajar Auditori
3. Pelajar Kinestetik
Pelajar visual cenderung untuk memahami sesuatu konsep dengan lebih baik apabila mereka diberikan gambar atau rajah. Dalam pendekatan pengajaran saya di dalam kelas, mereka menunjukkan minat yang tinggi terhadap gambar rajah sebagai alat untuk membantu mereka memahami konsep.
Selain itu, bagi pelajar auditori mereka lebih memahami sesuatu topik pembelajaran melalui perbincangan kumpulan. Pelajar ini kurang gemar menulis atau menyalin nota, tetapi mereka dapat menguasai pelajaran dengan hanya mendengar perbincangan rakan-rakan mereka.
Seterusnya, terdapat juga pelajar kinestetik yang memerlukan pergerakan fizikal untuk membantu mereka memahami pelajaran. Pada mulanya, saya menyangka pergerakan tersebut hanya untuk menghilangkan rasa mengantuk. Namun, setelah diperhatikan, saya mendapati bahawa melalui pergerakan, pelajar ini sebenarnya dapat memahami topik yang dipelajari dengan lebih baik. Oleh itu, saya membenarkan pelajar ini untuk menulis di papan putih, sebagai satu bentuk "pengalaman pembelajaran" yang membantunya dalam memahami pelajaran.
Lebih menarik lagi, terdapat pelajar yang menunjukkan ciri gabungan antara dua kategori ini. Sebagai contoh, terdapat pelajar yang memerlukan kedua-dua elemen auditori dan kinestetik untuk benar-benar memahami sesuatu topik pembelajaran. Perkara ini sangat menarik untuk dikaji kerana dengan memahami ciri dan sifat pelajar, seorang guru dapat memaksimumkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Amir Fakri