20/08/2025
*AHLI AL QURAN*
_Generasi Yang Hidup Antara Helaian Al Quran_
عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله ﷺ:
“إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنَ النَّاسِ.”
قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ؟
قَالَ
“هُمْ أَهْلُ الْقُرآنِ، أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ.”
_“Sesungguhnya Allah mempunyai ahli dari kalangan manusia.”_
_Mereka bertanya: “Siapa mereka wahai Rasulullah?” Nabi ﷺ menjawab “Mereka adalah ahli al-Qur’an, ahli Allah dan orang khusus-Nya.”_
Riwayat Ibn Majah – Sahih
*KEFAHAMAN HADIS*
1. Ahli al-Qur’an bukan sekadar orang yang hafal, tetapi orang yang hidup bersama al-Qur’an (dari segi bacaan, hafalan, tadabbur, amal, dakwah dan perjuangan.)
Imam Ibn al-Qayyim Rhm menyebut:
_“Ahli al-Qur’an adalah orang yang al-Qur’an itu menjadi hati dan jiwanya.”_
al-Fawaaid, Ibn al-Qayyim
2. Allah SWT menegaskan di dalam Al Quran, bahawa golongan yang *Membaca* dan *Menjaga* Al-Qur’an adalah mereka yang dipilih oleh Allah SWT
ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا
_“Kemudian Kami wariskan al-Kitab ini kepada hamba-hamba Kami yang Kami pilih…”_
Surah Fāṭir: 32
Imam Ibn Qudamah Rhm menegaskan :
_“Menjadi ahli al-Qur’an adalah suatu kemuliaan yang Allah berikan kepada hamba-hamba pilihan-Nya. Mereka diangkat darjatnya di dunia dan akhirat.”_
Mukhtasar Minhaj al-Qasidin
3. Kedudukan Ahli Al Quran disisi Allah adalah sangat tinggi. Sabda Nabi SAW.
يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا،
فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
_“Akan dikatakan kepada sahabat al-Qur’an: Bacalah dan naiklah (tingkat demi tingkat syurga), dan tartilkan sebagaimana kamu mentartilkannya di dunia. Kerana kedudukanmu adalah pada ayat terakhir yang kamu baca.”_
Riwayat Abu Daud & At Tirmizi . Sahih
Imam al-Nawawi Rhm menyebut :
_“Para ulama sepakat bahawa membaca al-Qur’an adalah zikir paling afdal. Orang yang paling tinggi darjatnya ialah orang yang membaca, menghafal dan mengamalkannya.”_
al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Qur’an
4. Al Quran tidak sekadar bahan bacaan untuk diambil barakah semata-mata, bahkan ia adalah panduan dan pedoman hidup serta pembinaan tamadun.
5. Justeru umat Islam perlu membaca, memahami, mempraktis dan menghayati Al Quranil Karim.
6. Kebangkitan Islam dan ummatnya tidak pernah terpisah dari al-Qur’an. Para mujaddid, murabbi, mujahid dan du’at menjadikan *al-Qur’an sebagai titik mula perubahan* masyarakat dan asas sistem perjuangan.
Asy Syahid Imam Hasan al-Banna Rhm menegaskan:
_“Tujuan utama kita adalah mengembalikan umat ini kepada al-Qur’an, agar dengannya mereka memimpin dunia.”_
✅Majmuu‘at Rasaa’il
Imam al-Suyuti Rhm ada menyebut:
_“Ahli al-Qur’an adalah pembawa panji Islam. Jika dia ikhlas, dia berada di kedudukan tertinggi bersama para nabi dan syuhada.”_
Kitab : al-Itqan fi Ulum al-Qur’an
✅Sementara Dr. Abdul Karim Zaidan Rhm menyatakan:
_“Kemenangan Islam hanya datang jika wujud rijal al-Qur’an iaitu mereka yang memegang al-Qur’an bukan di lidah sahaja, tapi *dalam darah perjuangan* qereka.”_
✅Kitab : Usul Da’wah
7. Ahli Al Quran yang hidup (haraki) akan senantiasa berada pada helaian Al Quran untuk tujuan 5 perkara berikut :
i) *Tilawah* : Baca Al Quran setiap hari
ii) *Tadabbur* : Fahami isi perjuangan & Fikrah Al quran
iii) *Hifz* : Hafal untuk bekalan diri dan alat dakwah
iv) *Amal* : Realisasikan Al Quran dalam kehidupan
v) *Tanfiz* : Jadikan Al Quran sebagai dasar gerakan perubahan dn juga perjuangan mendaulatkan Islam.
sekian.