28/01/2026
Cetusan idea untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam bermula sejak akhir tahun 1970-an, selari dengan kesedaran masyarakat Islam terhadap kepentingan pendidikan awal kanak-kanak yang berteraskan nilai-nilai Islam. Pada ketika itu, perkembangan pesat dalam bidang pendidikan serta peningkatan bilangan pusat pendidikan prasekolah telah membuka ruang kepada para pejuang dan pencinta Islam untuk memikirkan satu alternatif pendidikan yang lebih holistik berbanding sistem pendidikan sedia ada.
Seiring dengan perkembangan tersebut, timbul inisiatif untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya dikenali sebagai Tadika Islam. Penubuhan ini bertujuan untuk menyediakan pendidikan awal yang bukan sahaja menekankan aspek akademik, malah turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, akhlak, dan kefahaman asas agama Islam dalam kalangan kanak-kanak.
PASTI kemudiannya muncul sebuah institusi yang bergerak sebagai aktiviti Parti komited dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam. Dengan iltizam yang tinggi, PASTI telah melalui satu proses pembangunan yang panjang dan mencabar, serta memerlukan komitmen berterusan daripada pelbagai pihak. Namun demikian, usaha ini telah membuahkan hasil apabila sumbangan PASTI dalam bidang pendidikan prasekolah semakin mendapat pengiktirafan dan diterima baik oleh masyarakat.
Sehubungan itu, adalah diharapkan agar PASTI terus melakar kejayaan pada masa hadapan dan kekal relevan sebagai sebuah institusi yang berwibawa serta berdaya saing. Penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan dan kelangsungan PASTI hingga ke hari ini.