10/12/2015
►Apa itu "Maahad Buuth Al-Azhar"?
"Maahad Buuth A-Azhar" disebut dalam bahasa Arab dengan [معهد بعوث الأزهر] merupakan sebuah sekolah pengajian ilmu bertaraf antarabangsa yang dikelolakan oleh Institusi Al-Azhar.
Sekolah ini bersifat "Sekolah Kebajikan" dengan erti pelajar hanya perlu membeli buku sekolah sahaja. Manakala yuran-yuran lain dan gaji guru ditanggung oleh Institusi Al-Azhar.
Maahad Buuth Al-Azhar ini terletak di kota Kaherah Mesir, lebih kurang 5 minit dari Universiti dan Masjid Al-Azhar(jika menaiki kenderaan).
►Peringkat Pengajian
Sekolah ini membahagikan pelajarnya kepada 2 Bahagian. Iaitu 3 Tahun di `Idadi (Peringkat Rendah) dan 3 Tahun di Thanawi (Peringkat Menengah).
Bagaimanapun, pelajar boleh mengambil peperiksaan Tahdid Mustawa yang membuka peluang pelajar menyingkatkan pengajian. Di Malaysia, kita sebut dengan istilah, 'Lompat Kelas'.
Paling lama, 6 tahun,
Paling singkat, 1 tahun.
Kebiasaannya, 3 tahun.
►Sambung Pengajian
Selepas tamat di Buuth Al-Azhar, pelajar boleh memohon untuk masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi di Mesir ataupun luar Mesir seperti Universiti Ummul Qura, Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan lain-lain. Sijil sekolah ini bertaraf antarabangsa.
Kebiasaannya, pelajar menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Mereka mudah masuk kerana tidak perlu lagi mengikuti peperiksaan Imtihan Qabul.
►Matapelajaran
Antara matapelajaran yang diajar di Buuth ialah; Fiqh, Tauhid, Hadis, Khat, Nahu, Sorof, Insya', Tauhid, Sirah, Imla', Tajwid, al Quran, Sains, Komputer, Matematik, Geografi, Sejarah, Bahasa Inggeris / Bahasa Perancis
Kelas adalah dari jam 8 pagi sehingga jam 12 tengah hari. Sebanyak 5 kelas bagi setiap hari. Setiap tahap kelas, mempunyai subjek yang berbeza.
►Keistimewaan
Antara keistimewaan Buuth Al-Azhar ialah,
1) Pengajian ilmu agama dan ilmu moden seperti kelas Al-Quran dan komputer
2) Komunikasi pelbagai bangsa, negara, dan bahasa. Bahasa utama ialah bahasa Arab.
3) Kemasukan mudah, tidak perlukan apa-apa sijil
Mampu bergurau dengan bahasa arab di usia yang muda.
4) Tiada had umur. Bermula dari 12 tahun sehingga yang sudah berumahtangga.
5) Belajar perkara asas seperti di Malaysia, tetapi dalam bahasa Arab. Belajar Geografi, Matematik, Sains, dan Komputer dalam bahasa Arab.