25/05/2022
6 SYARAT MENUNTUT ILMU MENURUT IMAM AL-SHAFI'E :
1. Zaka’ (Kecerdasan)
Kecerdasan otak adalah salah satu syarat utama dalam menuntut ilmu. Otak yang tidak cergas hanya akan menyebabkan pemiliknya s**ar untuk berfikir secara benar. Maka untuk kita menjaga kecerdasan otak, perkara-perkara maksiat perlulah dijauhi terlebih dahulu.
Hal ini kerana apabila kita melihat atau melakukan sebarang bentuk maksiat, hati akan menjadi hitam dan otak juga akan menjadi rosak dan tidak cerdas.
Imam al-Syafie pernah mengadu kepada gurunya Imam Waqi’ mengenai masalah hafalannya yang semakin merosot, lantas gurunya menyuruh Imam Syafie meninggalkan maksiat seraya berkata: “Sesungguhnya Ilmu Allah itu cahaya, dan Cahaya Allah itu tidak akan dikurniakan kepada seorang pelaku maksiat”.
Maka difahami daripada nasihat Imam Waqi’ ini bahawa sesungguhnya perbuatan maksiat jelas akan melemahkan ingatan dan menjadi punca lemahnya kecerdasan otak manusia.
2. Hirs (Semangat)
Bersemangat dan merasa tidak puas dengan ilmu yang dimiliki merupakan suatu hal yang paling utama dalam memperoleh sesuatu ilmu. Seorang penuntut ilmu tidak boleh merasa puas dengan ilmu yang dimiliki.
Hal ini kerana jikalau dia berasa puas dengan ilmu yang didapati, maka dia akan berhenti untuk terus belajar. Sebaliknya, jika setiap kali dia mendapat ilmu, dan menyedari akan kekurangannya, pasti dia akan terus berusaha untuk mempelajari sesuatu untuk memperbaiki dirinya.
Imam al-Syafie pernah berkata: "Semakin aku bertambah ilmu, semakin aku tahu akan kebodohanku". Bahkan rasulullah SAW sendiri diperintahkan oleh Allah SWT untuk terus berdoa: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku" (Surah Toha ayat 114).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu sentiasa berusaha menuntut ilmu dan tidak pernah merasa takbur dengan ilmu dimiliki.
3. Ijtihad (Bersungguh-sungguh)
Setiap orang yang ingin menuntut ilmu Allah SWT harus memiliki motivasi dan kesungguhan yang tinggi. Hal ini kerana pepatah Arab ada mengatakan: 'Man jadda wajada' dengan makna 'Sesiapa yang berusaha, akan mendapat apa yang diusahakannya'.
Ulama dahulu misalnya sangat bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu Allah sehingga ada yang sanggup bermusafir dari satu tempat ke tempat yang lain.
Imam Bukhari misalnya, demi mencari kebenaran akan sesuatu hadis sanggup berjalan jauh, keluar masuk perkampungan, menyusuri sekian ratus kota, demi belajar dan mengumpulkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW.
4. Bulghah (Bekal yang mencukupi)
Selain Zaka’, Hirs dan Ijtihad, seseorang harus mempunyai bekal atau biaya yang mencukupi untuk menuntut ilmu. Hal ini kerana, tidak ada yang percuma di dunia ini melainkan perlu kepada pengorbanan jiwa dan harta untuk mencapainya.
Kadangkala kita memerlukan bekal kewangan misalnya untuk membeli kitab, alat tulis, dan membayar yuran pembelajaran yang akan membantu kita dalam proses menuntut ilmu Allah SWT. Ilmu memerlukan kepada pengorbanan maka tidak perlulah merasa takut menginfakkan harta pada jalannya.
5. Suhbah Ustaz (Bersahabat (bimbingan) dengan ustaz)
Seseorang tidak akan memperoleh ilmu tanpa ada petunjuk dan bimbingan daripada seorang insan yang bernama guru. Sebahagian kita mungkin boleh belajar sendiri atau membaca sesuatu tanpa ada guru yang mengajarkan, namun kita tidak akan pernah mengetahui apakah pengetahuan dan pemahaman kita itu benar ataupun salah.
Maka hal inilah yang membuatkan kita mesti mendapatkan petunjuk dan bimbingan para guru. Guru adalah sandaran bagi seorang penuntut ilmu, dan ianya dikenali juga sebagai sanad di dalam agama Islam.
Abdullah bin al-Mubarak telah berkata: “Isnad adalah sebahagian dari agama, kalau bukan kerana isnad maka setiap orang yang berkeinginan akan mengucapkan apa yang dia inginkan”.
6. Thol Zaman (Waktu yang panjang)
Menuntut ilmu tidak boleh dalam tempoh yang singkat bahkan ia memerlukan kepada tempoh waktu yang panjang. Maka disebabkan itu kita dituntut untuk menuntut ilmu sejak kita dilahirkan sehingga kita dikuburkan. Maka selagi mana hayat dikandung badan, selama itulah menjadi kewajiban kita untuk menuntut ilmu Allah SWT.
Semoga kita sama-sama berusaha memenuhi syarat-syarat menuntut ilmu seperti yang telah digariskan oleh Imam al-Syafie rahimahullah. Mudah-mudahan kita dapat mencapai keberkatan ilmu dan juga keredhaan daripada Allah SWT 🥰