31/07/2026
MAHRAJAN KESENIAN ISLAM DAN SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1448H PERINGKAT DAERAH SIPITANG
ποΈ 30β31 Julai 2026 | 15β16 Safar 1448H
π€ Dewan Serbaguna Sipitang
Mahrajan Kesenian Islam dan Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Daerah Sipitang telah berlangsung dengan jayanya pada 30 hingga 31 Julai 2026 bertempat di Dewan Serbaguna Sipitang, dengan tema "Madani Dihayati, Ummah Diberkati".
Pada 30 Julai 2026 (Khamis), program dimulakan dengan Mahrajan Kesenian Islam yang menghimpunkan penyertaan masyarakat dari seluruh Daerah Sipitang melalui tiga acara utama iaitu Pertandingan Marhaban dan Berzanji, Pertandingan Nasyid serta Pertandingan Seni Kompang. Penganjuran program ini bertujuan menyemarakkan syiar Islam, memelihara warisan kesenian Islam serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Kemuncak program berlangsung pada 31 Julai 2026 (Jumaat) dengan majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Matbali bin Haji Musah, Ahli Parlimen P.178 Sipitang merangkap Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia. Turut hadir bersama adalah Tuan Abd. Karim bin A.M Zahari, Pegawai daerah Sipitang, merangkap Pengerusi Badan Dakwah daerah Sipitang.
Majlis turut diisi dengan Ceramah Khas Maal Hijrah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Dr. Sarip bin Abdul, Pengarah Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah. Ceramah tersebut mengupas hikmah hijrah sebagai panduan dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bersatu padu.
Program diteruskan dengan persembahan nasyid, sebelum diadakan pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para pemenang Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Sipitang bagi kategori Pertandingan Seni Kompang, Pertandingan Nasyid serta Pertandingan Marhaban dan Berzanji.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Masjid dan Surau serta Anugerah Khas Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Sipitang sebagai penghargaan kepada individu dan institusi yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam usaha memperkasa syiar Islam di daerah ini.
Guru-guru KAFA Daerah Sipitang turut hadir bagi memeriahkan majlis sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran program yang menyatukan masyarakat dan memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam sempena sambutan Maal Hijrah.
Semoga program seumpama ini terus menjadi platform untuk menyemarakkan syiar Islam, mengukuhkan perpaduan serta memupuk semangat hijrah ke arah kehidupan yang lebih cemerlang dan diberkati.