23/05/2023
NURSYAZA ATHIRAH BINTI HAMIZAM
294456
Media sosial aktiviti paling pop**ar pengguna internet kini. Tahun lalu, dianggarkan lebih 3.6 bilion penduduk dunia menggunakan media sosial dan dijangka mencecah 4.41 bilion menjelang 2025. Di Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2020 melaporkan 93.3 peratus pengguna internet menjalankan aktiviti di media sosial. Namun, dalam keghairahan mengejar like dan share serta mahu menjadi yang pertama menularkan sesuatu perkara, umum sering kali terlupa ia boleh menjadi 'jerangkap samar' membinasakan. Peratusan penggunaan media sosial tinggi tidak membawa maksud pengguna sedar mengenai etika penggunaan dan kesannya. Buktinya, kerap berita berkaitan salah guna media sosial dilaporkan di media.Implikasi negatif sering dilaporkan berpunca komunikasi media sosial. Antaranya mencetus pergaduhan, penipuan, fitnah, menggugat ketenteraman awam, malah ada yang lantang mencabar kedaulatan undang-undang sehingga akhirnya memakan diri. Sepanjang sembilan bulan pertama 2020, SKMM mengambil tindakan mahkamah ke atas 48 kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan kesalahan berkaitan penyalahgunaan media sosial.Daripada jumlah itu, 22 pertuduhan berkaitan perkongsian atau penyebaran kandungan lucah, sembilan pertuduhan menyebarkan kandungan jelik dan tiga pertuduhan berkaitan kandungan palsu. Ini berlaku akibat pengabaian atau kegagalan pengguna cakna kepada literasi media sosial atau dengan kata lain, keupayaan mengakses, memahami, menilai dan mencipta komunikasi dalam semua bentuk. Dalam konteks lebih spesifik, ia merujuk keupayaan menggunakan aplikasi media sosial lebih berhemah, beretika dan efektif, sekali gus mengurangkan kesan negatif media.
Literasi media sosial berkait rapat etika, peraturan dan kawalan kendiri dalam memastikan setiap maklumat dikongsi di media sosial bebas risiko dan memberikan manfaat kepada pengguna lain.
Konsep ini juga terpakai kepada penerima maklumat yang memerlukannya membuat pertimbangan wajar, sama ada boleh disebarkan untuk memberi faedah kepada orang ramai atau memutuskan rantaian komunikasi jika mempunyai unsur tidak baik. Kegagalan kedua-dua pihak iaitu pemula dan penerima komunikasi menilai impak penyebaran sesuatu maklumat di media sosial akan membawa kepada situasi ketidaktentuan dalam kalangan warganet, akhirnya mendorong berlakunya kemusnahan sampingan.
Mungkin ramai beranggapan apa ditulis atau dimuat naik 'tidak serius', namun ramai terkesan sama ada secara emosi atau material akibat perlakuan itu. Menyedari hakikat ini, kerajaan sejak dahulu menggerakkan pelbagai inisiatif mendidik masyarakat lebih cakna kepada penggunaan media sosial secara bijak.
Antaranya, modul Panduan Literasi Media dan Maklumat dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia dan inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) diusahakan SKMM. Melalui KDB sebagai contoh, tiga aspek utama dibudayakan iaitu berteraskan keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang mengutamakan kawal selia kendiri dalam membendung masalah penyalahgunaan internet. KDB dirangka khusus untuk mendidik etika dan bahasa ketika berkomunikasi di internet, tatacara menggunakan media sosial secara positif, amalan 'netiquette' (etika menggunakan internet) ketika berkomunikasi di media sosial dan gesaan kempen tidak pasti jangan kongsi. Semua ini penting demi melestarikan ketamadunan generasi akan datang supaya lebih literasi dalam penggunaan media sosial.