19/06/2022
Posting Ke-🔟
KRISIS IDENTITI DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA
Setelah lebih enam puluh tahun merdeka, negara Malaysia telah menempuh pelbagai peristiwa s**a dan duka dalam kalangan rakyatnya. Jika diimbas kembali, salah satu detik hitam dalam sejarah Malaysia adalah rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang mana merupakan peristiwa berdarah terbesar di negara kita. Rusuhan tersebut bukanlah berpunca daripada serangan luar tetapi pertelingkahan sesama kaum yang berada di Malaysia. Sudah tentu diharap agar peristiwa tersebut tidak lagi berulang lagi di negara kita. Tragedi tersebut secara langsung menunjukkan perpaduan kaum di negara kita masih lagi berada pada fasa permulaan dan memerlukan masa untuk dipupuk. Maklumlah ketika itu negara kita tidak sampai dua dekad mencapai kemerdekaan. Jati diri dan identiti bangsa masih lagi dalam fasa permulaan.
Akan tetapi, setelah lebih 64 tahun watan kita merdeka, masalah jati diri identiti dalam kalangan rakyat Malaysia masih lagi berada di takuk yang lama terutamanya generasi muda yang mana akan mewarisi tanah air ini satu hari nanti. Isunya bukanlah semata-mata anak muda tidak berminat mengibarkan jalur gemilang tetapi krisis seperti kegagalan anak bangsa untuk fasih bertutur di dalam Bahasa kebangsaan semakin membimbangkan.
Zaman kini, ramai di antara kita kagum apabila kita melihat seorang bukan melayu fasih berbahasa kebangsaan di media sosial. Orang kita merasa bangga dan menganggap ia merupakan sesuatu yang istimewa di mana seorang bukan melayu mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan fasih. Hakikatnya, berbahasa kebangsaan adalah wajib dan ia sepatutnya menjadi perkara yang normal bahkan rakyat Malaysia yang masih tidak fasih berbahasa kebangsaanlah sepatutnya dianggap sedemikian. Oleh itu, jelas menampakkan bahawa orang kita mempunyai krisis identiti dan jati diri sebagai rakyat Malaysia. Secara ringkasnya, identiti yang dimaksudkan adalah lambang yang perlu ada pada diri kita untuk menunjukkan bahawa kita adalah rakyat Malaysia disertakan dengan perasaan cinta kepada negara. Kemampuan dan kefasihan bertutur dalam Bahasa kebangsaan adalah lambang seseorang itu merupakan rakyat Malaysia. Agak janggal jika seseorang yang mengaku rakyat Malaysia tetapi tidak fasih bertutur dalam Bahasa kebangsaan.
Antara contoh lain krisis identiti dan jati diri yang ada pada generasi muda kini seperti keengganan untuk mempertahankan negara sewaktu kedaulatan negara dicabar. Sebagai contoh, disaat Yang di-Pertuan Agong dihina di media sosial, di mana anak muda bangkit mempertahankannya di ruangan komen media sosial. Mereka mengatakan mereka cinta akan negara tetapi di manakah manifestasi terhadap ucapan mereka.
Selain itu, masih lagi terdapat warganegara Malaysia yang tidak mengerti dan menghafal rukun negara. Dahulu pernah tular satu video temubual rakyat Malaysia oleh Says Seismik di laman Youtube, terdapat beberapa babak menunjukkan masih terdapat rakyat Malaysia yang tidak menghafal rukun negara. Perkara ini sangat menyedihkan untuk dilihat. Setelah 60 dekad kita merdeka, kita masih gagal melahirkan rakyat Malaysia yang beridentiti dan mempunyai jati diri. Meskipun ada di kalangan mereka adalah golongan professional, tetapi perasaan cinta akan negara bukanlah ditentukan oleh tahap pendidikan tetapi perasaan itu mestilah dipupuk dengan sendirinya.
Akhir sekali, krisis identiti yang dilihat semakin ketara dalam kalangan rakyat Malaysia adalah keengganan menghormati lagu kebangsaan. Dua tahun lalu, tular lagi video di mana sekump**an rakyat Malaysia di kedai makan enggan untuk berdiri semasa lagu Negaraku dikumandangkan. Hal ini merupakan satu tindakan yang tidak beradab dan menunjukkan bahawa mereka lemah jati diri. Perkara ini akan terus berlaku sekiranya tiada kesedaran diwujudkan terutama kepada anak kecil dan generasi muda akan pentingnya mempamerkan identiti sebagai rakyat yang cintakan akan tanah air.
Kesimp**annya, apabila kita berbicara dengan isu identiti dan jati diri, kita bukanlah tertumpu kepada orang melayu semata-mata. Anak cina, anak india, anak kadazan, anak iban dan seluruh individu yang mengaku warganegara Malaysia perlu mempamerkan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia. Fasih dalam bahasa kebangsaan bukanlah untuk orang melayu sahaja. Bukanlah mempertahankan raja-raja Melayu itu tugas orang melayu sahaja. Itu semua adalah tugas seluruh rakyat Malaysia. Etika memainkan peranan penting dalam memupuk jati diri dan identiti sebagai warganegara yang cintakan akan tanah air.
Dikongsikan oleh : MOHAMAD NORISHAM BIN MOHD SHAMSUDDIN (288142)