31/05/2019
Jangan Gaduh-gaduh Balik Kampung: Suami Mentor, Bukan Diktator
1. Asas bagi rumah tangga ialah “المعاشرة بالمعروف” iaitu bergaul dengan cara yang baik, saling berdampingan, bertoleransi, bersikap adil dan bertimbang rasa, tanpa menzalimi antara satu sama lain.
Firman Allah:
وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِى عَلَيۡہِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)” [al-Baqarah: 228].
2. Setiap suami-isteri ada situasi, keinginan, keperluan, dan pandangan masing-masing yang barangkali tidak sekapal dengan pasangannya.
Justeru hendaklah keduanya mencari titik persetujuan, saling bertimbang rasa, saling memepermudah, saling berkhidmat, dan saling membahagiakan.
3. Benar suami adalah pemimpin keluarga, namun Allah memerintahkan para suami untuk bersahabat dengan isteri dengan baik lagi bijaksana.
Firman Allah:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik” [al-Nisa’: 19].
Suami yang jauh dari petunjuk Allah ialah suami yang mengabaikan konsep “Ihsan” dalam memimpin, sehingga mengabaikan apa yang dimahu atau diperlukan isteri sebagaimana yang suami juga mahu atau perlukan.
Ihsan itu ada unsur “saling” antara dua pihak sebagaimana ketika beribadah yang saling “melihat”, iaitu seorang hamba itu seolah-oleh melihat Allah dan merasakan diri dilihat-Nya [riwayat Muslim].
4. Suami bukan diktator.
Ramai para suami yang tersilap tatkala menyangka bahawa bertoleransi, atau berlembut pada tempatnya, atau berinteraksi baik bersama isteri itu petanda kelemahan suami atau “takut bini” (GTB), lalu tidak kurang yang bersikap keras seperti sang diktator yang tidak memberi peluang untuk membincangkan keputusan secara bersama.
Apa yang diputuskan si suami itulah keputusan mutlak yang tiada ruang berbincang atau “rayuan”.
Itulah tanda kelakian!
5. Bukanlah hal tersebut sebahagian dari akhlak Islam yang mulia, kerana kemuliaan suami itu ialah mereka yang gagah di luar rumah memenangi tanggungjawabnya, namun kadangkala “lemah” tewas bersama keluarganya di rumah.
‘Umar bin al-Khattab RA yang terkenal akan ketegasan dan kegagahannya pernah berkata: “Suami seharusnya menjadi seperti anak-anak (yang manja) ketika bersama keluarganya, namun tatkala mereka mencari-cari (memerlukan) sesuatu darinya, mereka mendapatinya seorang lelaki (yang gagah lagi bertanggungjawab)!” [Ihya’ ‘Ulum al-Din].
6. Jangan lupa bahawa Rasulullah SAW merupakan contoh suami teladan, dan baginda pernah berkata:
خَيْرُكُم خَيْرُكُم لِأَهْلِه، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
“Sebaik-baik kalian ialah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kalian terhadap isteriku” [riwayat al-Tirmidzi & Ibn Majah].
Pesan baginda lagi:
أَكْمَلُ المُؤْمِنِيْنَ إِيمَاناً أَحَاسِنُهُم أَخْلَاقاً، وَخِيَارُكُم خِيَارُكُم لِنِسَائِهِم
“Orang beriman yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kalian ialah yang paling baik terhadap isteri mereka” [riwayat Ahmad].
7. Jadilah suami mentor yang menjadi tauladan bagi isteri.
Sebagaimana dia memperlakukan isterinya, begitulah yang akan dia dapat dari isterinya hasil tunjuk ajarnya.
Firman Allah:
هَلۡ جَزَآءُ ٱلۡإِحۡسَـٰنِ إِلَّا ٱلۡإِحۡسَـٰنُ؟
“Bukankah tidak ada balasan bagi kebaikan itu melainkan balasan yang baik jua?” [al-Rahman: 60].
Jika suami mengambil berat keluarga isterinya, isterinya juga akan mengambil berat keluarganya, malah lebih lagi.
Jika suami menjaga kebajikan isterinya, isterinya juga akan menjaga kebajikan suaminya, malah lebih lagi.
Kerana pada isteri itu ada kasih setia yang lebih tulus dari kebanyakan para suami, dan pada isteri itu ada “tabiat” tersendiri yang jarang dimiliki sang suami, iaitu balasan berganda!
8. Bincanglah dengan baik, rancanglah dengan berhemah. Pertimbangkanlah dengan menjaga maslahat yang terbaik.
Situasi setiap keluarga barangkali berbeza. Mungkin adakala giliran diperlukan, adakala tidak mampu dilakukan.
Kedua pihak perlu saling memahami dan adakala perlu berkorban.
Itulah erti keluarga.
-Dr. Kamilin Jamilin-