15/05/2026
[MESEJ KHAS PENGERUSI: BUAT RAKAN PERJUANGAN, PARA MURABBI]
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat rakan-rakan guru yang saya muliakan.
Hari ini, apabila saya melihat wajah-wajah guru di sekolah saya bahkan mungkin di semua sekolah Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM) dan semua guru amnya, saya tidak nampak hanya seorang pendidik yang berdiri di hadapan kelas. Saya nampak nadi yang sedang berdenyut kuat demi masa depan ummah.
Tema kita tahun ini, "Guru Bitara Nadi Negara" dan "Murabbi Bitara, Nadi Pembina Ummah Rabbani", sebenarnya adalah satu pengiktirafan besar buat rakan-rakan semua.
Rakan-rakan guru sekalian,
Saya tahu, menjadi seorang Murabbi di zaman ini tidak mudah. Beban tugas yang mencabar, tuntutan akademik yang tinggi dan tanggungjawab menjaga akhlah dan sahsiah murid-murid kita sering kali menguji kesabaran. Ada hari kita pulang ke rumah dengan keletihan yang amat sangat.
Namun, ketahuilah bahawa setiap kali rakan-rakan membetulkan bacaan Al-Quran anak-anak kita, setiap kali rakan-rakan menasihati mereka tentang akhlak, dan setiap kali rakan-rakan bersabar dengan karenah mereka maka saat itu rakan-rakan sedang membina sebuah tamadun dan peradaban.
Rakan-rakan bukan sekadar pekerja, tetapi pembina insan Rabbani.
Terima kasih kerana terus setia menjadi Murabbi. Terima kasih kerana tidak pernah menyerah kalah dengan potensi anak-anak didik kita. Saya yakin guru-guru di sekolah-sekolah MPGBSIM khususnya mempunyai barisan guru yang bukan sahaja 'Bitara' dalam ilmu, tetapi juga 'Bitara' dalam kasih sayang dan dedikasi.
Moga Allah SWT membalas setiap titis peluh keringat rakan-rakan dengan ganjaran yang melimpah-ruah, ketenangan jiwa dan keberkatan dalam keluarga.
Selamat Hari Guru dan Selamat Hari Murabbi 2026.
Teruslah berkhidmat kerana Allah. Biar penat di dunia, moga rehat dengan kekal di Syurga sana.
Ikhlas daripada,
Muallim Isharuddin bin Ismail,
Pengerusi Majlis Pengetua Guru Besar Sekolah-Sekolah Islam Malaysia (MPGBSIM)