23/09/2021
Perkongsian Jumaat 24/9
IMBAKUP : KEPERIBADIAN ANAK2 BERMULA DARI RUMAH
Kata orang tua-tua, bagaimana acuan begitulah kuihnya, namun hari ini kita dapat melihat betapa jauhnya terpesong para golongan remaja daripada acuan budaya keTimuran yg penuh dengan nilai-nilai murni. Oleh sebab itu, ibu bapa seyogianya mencurahkan didikan agama kepada cahaya mata mereka sejak akar umbi kerana sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa lagi untuk melentur 'buluh' ketika ia masih dalam 'rebung' lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana didikan agama menjadi satu keperluan dan tunjang kepada kehidupan supaya anak-anak mempunyai pedoman dalam hidup berdasarkan norma-norma yang telah dipraktikkan sejak kecil lagi. Dengan itu, ibu bapa sewajarnya meluangkan masa mereka untuk mengajar anak ilmu-ilmu agama seperti cara-cara mendirikan solat serta konsep pahala dan dosa. Kemaslahatannya, segala tindak-tanduk mereka akan berkiblatkan hukum-hakam agama yang membolehkan mereka berfikir secara rasional tanpa menurut dan menjadi hamba hawa nafsu serakah. Pengaruh-pengaruh daripada media dan rakan-rakan liar juga tidak menjadi satu masalah buat mereka jika terdapatnya pegangan agama yang utuh dan keimanan yang tebal sekali gus dapat dijadikan benteng kerohanian untuk menangkis anasir-anasir negatif. Pegangan agama mereka yang utuh itu boleh diibaratkan sekukuh tembok besar China yang tidak mudah diporak-perandakan oleh pengaruh-pengaruh luar. Tuntasnya, didikan agama wajib dicurahkan oleh ibu bapa sebagai pedoman hidup anak-anak kerana tanpanya, hidup mereka diibaratkan kapal tanpa nakhoda yg mudah terumbang-ambing dek onak dan duri kehidupan.