15/02/2021
PENDIDIKAN KEARAH NEGARA GEMILANG
-The Magma-
PENDIDIKAN amat penting kepada individu, rakyat dan terutamanya kepada pembangunan sesebuah negara. Setiap pekerjaan yang ditawarkan memerlukan pendidikan sama ada dalam bidang akademik ataupun bidang kemahiran. Berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan yang dijalankan oleh Kementerian Pegajian Tinggi pada tahun 2016, terdapat seramai 224,575 orang telah menjawab soal selidik tersebut. Hasil kajian mendapati, daripada 224,575 orang responden yang menyertai kajian tersebut, seramai 126,966 orang (56.5%) telah memperolehi pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian, 32,063 orang (14.3%) berjaya melanjutkan pengajian, 5,246 orang (2.3%) memilih untuk meningkatkan kemahiran dan 9,053 orang (4.0%) sedang menunggu penempatan pekerjaan. Selebihnya, hanya 51,247 orang graduan (22.8%) graduan yang didapati masih belum mendapat pekerjaan.
Kajian kebolehpasaran graduan mengikut bidang pengajian mendapati graduan dalam pendidikan yang menunjukkan kebolehpasaran graduan tertinggi iaitu pada kadar 88.3% diikuti oleh graduan bidang teknik (80.2%) serta teknologi maklumat dan komunikasi (78.4%). Berdasarkan kajian yang sama, graduan dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional juga mempunyai kebolehpasaran dalam alam pekerjaan. Kolej Komuniti mencatatkan kebolehpasaran graduan tertinggi iaitu pada kadar 97.2% diikuti Politeknik sebanyak 88.6% dan Universiti-universiti teknikal seramai 87.1%. Oleh itu, jumlah keseluruhan kadar kebolehpasaran graduan pada tahun 2016 adalah sejumlah 77.2% daripada 224,575 orang. Hal ini telah membukakan mata bahawa peluang graduan untuk mendapat pekerjaan adalah tinggi selepas mereka tamat belajar.
Sesebuah negara yang maju dan gemilang, haruslah melahirkan banyak tenaga pakar bagi meningkatkan kualiti pendidikan dengan memberikan banyak kemahiran dan taraf pendidikan yang baik setanding dengan pendidikan yang disediakan di negara-negara maju. Malaysia boleh dijadikan sebagai hab atau pusat pendidikan terutamanya pendidikan serantau bagi menjadikan negara ini diiktiraf dan dihormati oleh negara-negara lain. Jadi, dengan itu lebih ramai pelajar dari luar negara diperlukan untuk menyambung pelajaran di negara ini bagi menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gemilang melalui pendidikan. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia setiap individu haruslah mempunyai rasa tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat negara kita menjadi sebuah hab pendidikan suatu hari nanti.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”
(Hadith riwayat al-Bukhari, No.2442, 6901, Muslim, No.2580)
Kesimpulannya, biarpun hanya berbakti kepada negara, ianya tetap merupakan sebuah tanggungjawab bersama untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan sesebuah negara yang tercinta.demi menjadikan negara ini menuju kearah negara yang gemilang.