08/05/2023
Malaysia mengalami iklim tropika dengan kelembapan yang tinggi dan suhu yang berada di antara 20Β°C hingga 30Β°C sepanjang tahun. Walau bagaimanapun, pada beberapa masa dalam setahun, suhu boleh meningkat melebihi 35Β°C. Cuaca yang panas dan lembap, digabungkan dengan beberapa faktor lain seperti aktiviti fizikal yang dilakukan, umur, pakaian, keadaan kesihatan , faktor peribadi dan beberapa lagi aspek teknikal yang lain boleh mengakibatkan berlakunya tegasan haba (heat stress) dan strok haba (heat stroke) yang berbahaya.
Tegasan haba merupakan keadaan dimana keupayaan badan untuk mengawal suhu dalaman terganggu. Antara gejala-gejala apabila tegasan haba mula berlaku termasuklah peluh secara berlebihan, dahaga, keletihan, kekejangan otot, sakit kepala dan pening. Kegagalan untuk mengenalpasti gejala-gejala tersebut akan menyebabkan potensi berlakunya strok haba. Strok haba merupakan kesan kesihatan serius yang berpotensi membahayakan nyawa apabila suhu dalaman meningkat ke tahap yang berbahaya yang biasanya diatas 40Β°C (104Β°F).
Menurut data dari Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat 123 kes strok haba yang dilaporkan pada tahun 2020, dengan jumlah kes yang tertinggi berlaku pada bulan April, Mei, dan Jun. Pekerja yang bekerja diluar, seperti buruh binaan dan petani, berisiko lebih tinggi untuk mengalami tegasan haba dan strok haba akibat pendedahan kepada cuaca panas yang ekstrem secara berpanjangan.
Salah satu kaedah dalam mengukur tegasan haba adalah dengan menggunakan Wet Bulb Globe Temperature (WBGT) index. WBGT mengukur tegasan haba dengan mengambil kira suhu sekeliling, kelembapan, kelajuan angin, dan suhu radiant. Nilai suhu yang diperoleh daripada WBGT akan dirujuk piawaian tertentu atau garis panduan yang diterbitkan bagi menentukan risiko tegasan haba. Secara umumnya, bergantung kepada kadar metabolisme dan jenis aktiviti yang dilakukan, nilai WBGT antara 26Β°C hingga 28Β°C dianggap sebagai risiko sederhana, sementara WBGT melebihi 31Β°C dianggap sebagai risiko tinggi.
Antara perkara yang perlu dilakukan dalam mencegah tegasan haba dan strok haba daripada berlaku adalah dengan mengekalkan kadar hidrasi tubuh dengan meminum banyak air, memakai pakaian yang sesuai (tidak terlalu tebal dan berwarna terang), beristirehat ditempat yang redup dan sejuk dan mengenalpasti gejala-gejala bagi tegasan haba dan strok haba.
Secara kesimpulannya, tegasan haba dan strok haba merupakan isu yang perlu diberikan perhatian kerana melibatkan masalah kesihatan yang serius di Malaysia terutama ketika berlakunya fonomena Gelombang Haba dimana suhu maksima harian melebihi 37Β°C untuk tiga hari berterusan. Adalah amat penting bagi orang awam dan pekerja yang bekerja diluar untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengelakkan daripada berlakunya tegasan haba dan strok haba.
Rujukan:
1. Occupational Safety and Health Administration. (n.d.). Heat Stress.
2. Centers for Disease Control and Prevention. (2019). Heat Stress.
3. Malaysian Meteorological Department. (n.d.). Climate of Malaysia.
4. The Star. (2020, May 7). Malaysia faces a long hot summer.
5. Malaysian Ministry of Health. (2020). Epidemiology of Communicable Diseases in Malaysia, 2020.
6. National Institute for Occupational Safety and Health. (2011). Criteria for a Recommended Standard: Occupational Exposure to Heat and Hot Environments.
7. United States Army Public Health Center. (2019). Wet Bulb Globe Temperature (WBGT) Index.
8. Occupational Safety and Health Administration. (2018). Occupational Heat Exposure.
9. Ministry of Health Malaysia. (2018). Guidelines for the Management of Heat Stroke in Adults.