29/08/2026
MAJLIS ISTIADAT PENYERAHAN BENGKONG PSSPGM CAWANGAN SEMENYIH
28 Ogos 2026, Semenyih - Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia cawangan Semenyih, Gelanggang Al-Mukhlisin telah mengadakan Majlis Istiadat Penyerahan Bengkong di peringkat cawangan.
Majlis bernilai bersejarah ini bertempat di Gelanggang Al-Mukhlisin membuka tirainya seawal jam 9.30 malam, telah disempurnakan oleh TG Azrul Affandi Bin Sobry (Timbalan Presiden PSSPGM Pusat) turut dihadiri TG Anuar Bin Abd Rahman (Yang Di Pertua Negeri Selangor), Guru Muhammad Firdaus Ismail (Pengerusi Majlis Gurulatih Selangor) yang menghimpunkan segenap warga persilatan merangkumi barisan Gurulatih, jurulatih, ahli jawatankuasa, serta para pesilat dari pelbagai gelanggang gabungan termasuk Gelanggang Eksklusif, Bangi Avenue, dan Studio PGS.
Suasana di Gelanggang Al-Mukhlisin malam tersebut kelihatan amat berseri dan penuh semangat kepahlawanan apabila seluruh pesilat hadir segak bertengkolok serta beruniform silat lengkap mengikut adat tradisi Pusaka Gayong. Kehadiran para pesilat yang mematuhi etika pakaian terkini serta menunjukkan disiplin dan kesopanan yang tinggi telah menyemarakkan lagi aura persaudaraan di gelanggang.
Acara kemuncak majlis menyaksikan upacara penyerahan bengkong secara rasmi kepada para pesilat yang telah berjaya melepasi ujian penilaian tahap masing-masing. Peningkatan dan penyerahan bengkung ini bukan sekadar ukuran kemahiran fizikal semata-mata, malah ia merupakan simbolik kepada amanah, kematangan watak, serta tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh setiap murid Pusaka Gayong dalam memelihara maruah diri, agama, dan bangsa.
Dalam amanat yang disampaikan oleh barisan Gurulatih, para pesilat diingatkan agar sentiasa memelihara adab, menjaga disiplin, dan sentiasa merendah diri walau sejauh mana jua melangkah. Ilmu Seni Silat Pusaka Gayong yang dituntut hendaklah dijadikan benteng diri dan sarana berbakti kepada masyarakat, bukannya untuk mendabik dada atau bersikap sombong.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa selamat, bacaan ikrar persaudaraan, dan sesi fotografi kenangan bersama barisan jurulatih, ibu bapa, serta seluruh ahli gelanggang.
Pihak pentadbiran PSSPGM Cawangan Semenyih dan Gelanggang Al-Mukhlisin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima bengkung baharu serta merakamkan penghargaan mendalam buat semua pihak yang menjayakan majlis ini. Semoga ukhuwah yang terjalin terus berkekalan dan seni pusaka warisan ini kekal mekar sepanjang zaman.