23/02/2024
Bila murid tunjuk keputusan kemudian tanya, "saya boleh pergi mana?"
Saya jawab dengan tenang, "kamu ingat kami ni bomoh ke? Tengok air dalam mangkuk, godak-godak sikit, terus dapat jawapan kursus mana yang kamu patut ambil."
Kemudian kami ketawa bersama.
Ibu ayah sekalian. Analogi yang mungkin boleh saya bagi, begini.
Kita ada RM15 ribu tunai. Pergi ke kedai kereta terpakai dan bagitahu jurujual. "Saya nak beli kereta."
Saya yakin, jurujual takkan mampu tunjukkan kereta mana yang tepat untuk kita pilih. Kalau ada pun, dia akan keluarkan senarai kereta dengan harga RM15 ribu dan kesudahannya, kita sendiri yang pening.
Lainlah kalau kita dah siapkan ciri-ciri yang kita nak.
- Harga RM15 ribu. Tambah seribu dua, masih okey.
- Kereta tak lebih 12 tahun.
- Kereta untuk kegunaan keluarga.
- Nak kereta sedan sahaja. Kereta hatchback dan MPV tak nak.
- Kalau boleh kereta Jepun dan Malaysia sahaja.
Saya yakin, tak sampai 5 minit, kita dah berada di tempat duduk pemandu untuk pandu uji.
Nampak tak? Sangat mudah kalau kita sudah ada spesifikasi dan ciri-ciri yang sesuai.
Nak sambung belajar pun macam tu juga. Kalau setakat tunjuk keputusan lepastu tanya boleh ambil apa kat universiti, siapa pun takkan mampu nak tolong.
Mana taknya, untuk lepas SPM ada lebih 498 kursus ditawarkan. Lepas STPM setaraf p**a ada lebih 1096 kursus yang boleh dipilih. Mampuih.
Sebab itu, kalau nak pilih kursus di universiti mahupun ILKA, kena kira mata merit dahulu. Lepas itu, cukup syarat am dan khas. Akhir sekali, kena tahu kecenderungan dan minat.
Tahu sahaja 3 ni, insyaAllah memang sangat mudah untuk kita senarai 12 pilihan dalam UPU.
Mak ayah.
Sampai sekarang masih belum ada berita bila UPU akan dibuka. Tak apa. Pedulikan semua itu.
Yang penting, bantu anak-anak untuk tahu minat dan kecenderungan mereka. Bila UPU dah dibuka, baru senang nak pilih.
Begitulah.