15/08/2026
Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Kategori Bahasa Inggeris Peringkat Kebangsaan 2026
Pertandingan Debat ini telah berlangsung pada 10 hingga 13 Ogos 2026 di The Pearl Kuala Lumpur Hotel, manakala majlis penutupan diadakan The Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur. Pertandingan ini menghimpunkan penyertaan daripada 14 negeri di seluruh Malaysia, sekali gus menjadikannya satu persaingan debat yang kompetitif di peringkat kebangsaan.
Pasukan Putrajaya diwakili oleh lima orang pelajar, dengan tiga orang pelajar dari SAS, iaitu Aarfan-Rais Shah bin Azhan Adli Shah, Muhammad A***n Harraz bin Mohd Nasir, dan Anas bin Mohd Fahami. Pasukan ini turut disertai Zara Amanda binti Mohd Radzi dari SMKPP 5(1) dan
Santosh a/l Pathmanathan dari SMKPP 8(1).
Pasukan Putrajaya mencatat prestasi yang membanggakan dan berjaya mara sehingga ke Pentas Akhir. Kejayaan ini membuktikan keupayaan para pelajar bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh negara dalam pertandingan debat peringkat kebangsaan.
Dari segi pencapaian individu, Aarfan-Rais Shah bin Azhan Adli Shah mencatat prestasi yang amat cemerlang apabila berjaya meraih pengiktirafan Best Speaker sebanyak 4 daripada 5 pusingan yang disertainya sepanjang pertandingan berlangsung.
Kemuncak kejayaan tersebut menyaksikan Aarfan dinobatkan sebagai Overall Best Speaker bagi Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Kategori Bahasa Inggeris Peringkat Kebangsaan 2026.
Pada penghujung kejohanan, keputusan diumumkan bahawa Putrajaya akan berentap dengan Pahang di Pentas Akhir, yang dijadualkan berlangsung di PICC Putrajaya pada Oktober 2026.
Secara keseluruhannya, kejayaan Putrajaya mara ke Pentas Akhir serta pengiktirafan Overall Best Speaker yang diraih oleh Aarfan merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan. Kejayaan ini turut menyerlahkan bakat, kesungguhan dan semangat kerjasama para pelajar dalam membawa nama Putrajaya di pentas debat kebangsaan.