12/03/2026
BENGKEL PERSEDIAAN AKREDITASI ETAC TAHUN 2026 PERKUKUH KESIAPSIAGAAN PROGRAM KEJURUTERAAN POLITEKNIK
Kuala Lumpur, 11 Mac 2026 β Bahagian Governan dan Kecemerlangan (BGK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah berjaya menganjurkan Bengkel Persediaan Akreditasi Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) Tahun 2026 yang berlangsung pada 9 hingga 11 Mac 2026 bertempat di AnCasa Hotel Kuala Lumpur.
Bengkel ini menghimpunkan wakil institusi politeknik yang terlibat dengan permohonan akreditasi ETAC bagi tahun 2026. Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan institusi dalam memastikan pematuhan kepada standard akreditasi serta memperkemas penyediaan dokumentasi dan pengurusan penilaian sebelum lawatan rasmi panel akreditasi dilaksanakan.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah didedahkan dengan beberapa sesi penting antaranya pengurusan dokumen ETAC, penggunaan sistem MQA Accreditation System (e-MAS), pengurusan panel akreditasi, pengurusan kewangan dan sumber manusia serta instrumen semakan penilaian ETAC. Sesi ini memberi panduan menyeluruh kepada institusi dalam menyelaraskan proses penyediaan dokumen akreditasi secara lebih sistematik dan teratur.
Bengkel ini juga menjadi platform perkongsian pengalaman serta perbincangan strategik antara institusi dalam memperkukuh pelaksanaan jaminan kualiti program kejuruteraan teknologi di politeknik selaras dengan keperluan badan akreditasi dan standard antarabangsa.
Melalui penganjuran bengkel ini, BGK komited untuk terus memperkukuh budaya kualiti dan kecemerlangan akademik dalam kalangan institusi di bawah JPPKK, seterusnya menyokong usaha memastikan program yang ditawarkan memenuhi standard akreditasi yang diiktiraf serta meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global.
BGK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua institusi yang telah memberikan komitmen dan kerjasama sepanjang pelaksanaan bengkel ini.
Bahagian Governan dan Kecemerlangan
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti
Kementerian Pendidikan Tinggi