01/10/2019
BAGAIMANA KAMI MENGAJAR
“Umi, umi..dak Puteri body shaming saya”
Seorang pelajar meluru masuk ke bilik saya ketika saya sedang duduk mahu membuat nota matematik.
“Body shaming apanya?”
“Dia kata perut dia laper tak macam perut saya buncit”
Si anak mengadu sambil meraba perutnya. Saya memandang kepada Puteri yang sudah berada di pintu.
“Tapi saya dah minta maaf umi. Saya dah berapa kali minta maaf.”
Saya menegur, mengingatkan apa yang pernah saya ajar, tetapi dalam senyum. Sekurang-kurangnya apa yang saya ajar kepada anak-anak ini difahami dan mereka mengambil kira apa yang saya ajar.
Semalam ketika ujian tebuk berlangsung Teta bertanya saya, adakah saya kecewa kalau dia tidak lulus ujian tersebut. Saya kata tidak. Usaha lagi. Salah seorang pelajar datang kepada saya.
“Umi relax ajekan kalau Teta tak lulus tapi saya tahu emak saya peduli. Apa sahaja exam saya emak saya peduli.”
Lalu saya katakan kepada dia
“Kamu sudah berusaha, jadi nanti kalau tidak berjaya pun umi akan beritahu emak kamu, kamu sudah berusaha”
Ceria wajah anak itu. Saya tidak melihat mereka diuji semalam. Saya hanya duduk di dalam bilik sambil mendoakan mereka semua. Bukan Qaisara sahaja tetapi semua, sebab mereka anak-anak saya.
Keputusannya Teta dan dia lulus cemerlang walau juzuk mereka berlainan. Bahkan hampir semua pelajar berjaya dengan cemerlang. Jadi cadangan untuk memberi hadiah kepada siapa yang lebih cemerlang, terbantut buat seketika.🤣🤣🤣
Sahabat guru dan ibu bapa semua
Sejak akhir-akhir ini para pelajar banyak diajar dengan bahasa yang kering dan teknikal. Cara guru mengajar agak terhad kerana harus mengikut buku 100%
Contoh bagaimana kita diajar mengerjakan solat. Semuanya teknikal. Rukun solat diajar dengan ketegasan. Cara solat pun diajar kadangkala dengan ugutan. Tak boleh itu tak boleh ini. Sedangkan dikatakan di zaman Rasuallah, para sahabat diajar bersolat dengan gabungan ciri-ciri aqidah, ibadah dan akhlak. Mereka diajar dengan kasih sayang dan perhatian. Malah baginda membuat pelbagai strategi untuk mengelak supaya anak muridnya jemu.
Sudah sampai masanya kita mengajar dalam keadaan tenang, santai dan kasih sayang. Mengajar kerana kita mahu semua pelajar kita berjaya. Bukan kerana mencapai target yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.
Setiap guru harus ada sikap penyayang dan memudahkan seperti yang dimiliki oleh RasulAllah S.A.W. Memudahkan bermaksud, kita permudahkan anak-anak kita belajar dan tidak menyusahkan mereka dengan hal teknikal yang tidak sepatutnya..