19/08/2026
Politeknik Port Dickson (PoliPD) telah menyertai MULAseMULA 37th Architectural Student Workshop 2026 yang telah berlangsung di UiTM Puncak Alam. Program ini merupakan salah satu acara tahunan yang menghimpunkan pelajar seni bina daripada pelbagai institusi bagi memberi ruang kepada pelajar mengembangkan kreativiti, kemahiran reka bentuk, kerja berpasukan serta pengalaman dalam menghasilkan karya dan persembahan dalam suasana pertandingan.
Bagi penyertaan tahun ini, seramai 31 orang pelajar Diploma Senibina Politeknik Port Dickson telah menyertai program tersebut di bawah pasukan JAGARANG, dengan bimbingan dua orang pensyarah pengiring iaitu Encik Ahmad Qusyairi bin Ahmad Khairiri dan LAr. Dr. Zanariah binti Kassim.
Sepanjang program, para pelajar telah terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti dan pertandingan yang memerlukan kreativiti, kemahiran teknikal, kerjasama kumpulan, pengurusan masa serta kebolehan menyelesaikan masalah dalam tempoh yang ditetapkan.
Hasil daripada komitmen dan usaha yang diberikan, pasukan JAGARANG telah berjaya memperoleh tempat ketiga dalam pertandingan Fashion & Rakit – Mula Gerak, serta tempat kedua dalam pertandingan Modul. Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan kepada Politeknik Port Dickson dan membuktikan keupayaan pelajar PoliPD untuk bersaing bersama pelajar seni bina daripada institusi lain.
Lebih daripada pencapaian pertandingan, penyertaan ini telah memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna kepada pelajar. Mereka berpeluang mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam kelas melalui proses reka bentuk, pembinaan, fabrikasi, persembahan, komunikasi dan kerja berpasukan dalam situasi sebenar.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan Politeknik Port Dickson, Jabatan Kejuruteraan Awam serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pelajar untuk menyertai program ini.
Diharapkan sokongan pihak pengurusan terhadap penyertaan pelajar dalam program seperti MULAseMULA Architectural Student Workshop dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Program sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menguji kreativiti dan bakat mereka di peringkat yang lebih luas, malah dapat membantu membentuk pelajar yang lebih yakin, berdaya saing, kreatif, berkemahiran serta mampu bekerja dalam pasukan.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh pasukan JAGARANG atas komitmen, semangat dan pencapaian yang telah membanggakan nama Politeknik Port Dickson.
JAGARANG — MULA, BINA, CIPTA DAN TERUS MELANGKAH.