22/08/2025
UPACARA PENUTUPAN KURSUS KERANI PERAKAUNAN KETENTERAAN KELAS 1 SIRI 2/2025
PORT DICKSON, 22 Ogos 25 - Upacara Penutupan Kursus Kerani Perakaunan Ketenteraan Kelas 1 Siri 2/2025 telah sempurna dirasmikan oleh YBhg Kol Irwan bin Ibrahim, Pengarah Kolej PTT. Upacara ini telah dilaksanakan di Divisyen Kewangan dan Belanjawan (Div K&B), Kem Haig Lines, Port Dickson pada 22 Ogos 25.
Kursus Kerani Perakaunan Ketenteraan Kelas 1 Siri 2/2025 bermula pada 30 Jun 2025 hingga 22 Ogos 2025 dihadiri seramai 35 anggota Lain-lain Pangkat bertujuan menyediakan anggota yang terpilih untuk ditugaskan sebagai Kerani Gaji yang terlatih dengan memberi pengetahuan dan pendedahan dalam aspek pengendalian Akaun Panjar, Akaun Perkhidmatan, Pengurusan Peruntukan Belanjawan serta Memperagakan Tugas Kerani Gaji.
Penuntut Keseluruhan Terbaik telah dinobatkan kepada Pbt Muhammad Syahrulniza bin Khairul Nizam dari pasukan 18 RAMD (Para) manakala anugerah Akademik Terbaik dinobatkan kepada LK PNK Muhammad Qusyairi bin Hasbullah dari Markas Pasukan Simpanan TLDM.
Dalam ucapan Pengarah Kolej PTT, beliau mengucapkan tahniah kepada para penuntut kerana telah berjaya menamatkan kursus dan berharap agar penuntut dapat menggunakan dan mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari di pasukan dan melaksanakan tugas dengan sebaiknya.
Majlis ini turut dihadiri oleh Lt Kol Ahmad Halim bin Hj Mohd Rosli, Ketua Jurulatih Kolej PTT, Lt Kol Abdullah bin Ayob, Jurulatih Kanan Div K&B, Pemangku Sarjan Mejar Rejimen Kolej PTT PW I Mohd Khairi Fitri bin Man serta barisan Jurulatih.