16/04/2026
KECEMERLANGAN AKADEMIK DIRAIKAN: 198 PELAJAR JKM TERIMA ANUGERAH KETUA JABATAN
PORT DICKSON, 15 April – Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Port Dickson telah menganjurkan Majlis Anugerah Ketua Jabatan (AKJ) Sesi I:2025/2026 dan Transformasi Siswa bertempat di Dewan Pentagon hari ini. Majlis yang penuh bermakna ini dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Pelajar JKM dengan kerjasama padu daripada kelab pelajar, Mech Club. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu bertujuan memberikan pengiktirafan rasmi kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang sepanjang sesi pengajian yang lalu.
Seramai 225 orang pelajar terlibat dalam majlis kali ini, merangkumi 198 orang pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dan layak menerima Anugerah Ketua Jabatan, manakala 37 orang pelajar Semester Akhir yang diraikan sempena tamatnya sesi pengajian mereka melalui segmen Transformasi Siswa. Penganjuran program ini bukan sekadar tentang penyerahan sijil, malah ia berperanan sebagai platform penting bagi pelajar untuk mengasah kemahiran interpersonal serta memupuk kepimpinan dalam pengurusan dan pelaksanaan majlis rasmi.
Menurut jawatankuasa penganjur, terdapat tiga objektif utama yang ingin dicapai melalui majlis ini iaitu mengiktiraf pencapaian iaitu dengan menghargai usaha gigih pelajar JKM dalam mengekalkan piawaian akademik yang tinggi. Objektif yang kedua p**a adalah daripada aspek pembangunan kemahiran iaitu dengan menyediakan ruang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran pengurusan majlis secara langsung. Dan yang ketiga adalah bagi mengembangkan potensi pelajar bukan sahaja dalam bidang teknikal, malah dari sudut kemahiran insaniah bagi persediaan ke alam kerjaya.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Jabatan, Ketua-ketua Program, para pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal serta para pelajar yang diraikan dalam suasana ringkas tetapi meriah. Majlis yang berakhir pada jam 3.00 petang itu bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada para penerima anugerah, malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan di masa hadapan.