SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH MAAHAD PONTIAN
LATAR BELAKANG SEKOLAH
Maahad Pontian merupakan sebuah Sekolah Menengah Tinggi Agama di Negeri Johor yang mula beroperasi pada 29 Februari 1992. Pada peringkat awal penubuhan, Maahad Pontian hanya mempunyai 180 orang pelajar dengan 6 orang tenaga pengajar. Sekolah ini terletak di Jalan Parit Masjid, kira-kira 1 kilometer dari bandar Pontian. Maahad Pontian
melaksanakan dua aliran pendidikan, iaitu:
*Aliran Akademik berasaskan silibus kebangsaan, dan
*Aliran Agama berbahasa Arab berteraskan silibus al-Azhari yang digubal oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Johor (JAJ). PENGASAS SEKOLAH
Pengasas Maahad Pontian ialah Ustaz Haji Salam bin Haji Abd Rahman, bekas Pengetua Maahad Johor dan seterusnya menjadi Pengetua pertama Maahad Pontian. TUJUAN PENUBUHAN DAN PERKEMBANGAN AWAL
Maahad Pontian ditubuhkan bagi memberi peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di Maahad Johor, Johor Bahru. Pada peringkat awal (1992–1997), Maahad Pontian menumpang di bangunan Sekolah Arab Bandar Pontian sebelum berpindah ke bangunan sendiri di tapak dan lokasi sedia ada pada tahun 1997. Pengambilan pelajar ketika itu tertumpu kepada:
*Tingkatan 4 (1 Thanawi)
*Tingkatan 5 (2 Thanawi)
*Tingkatan 6 (3 Thanawi)
Kesemua pelajar merupakan lepasan Sekolah-sekolah Arab Negeri Johor. Maahad Pontian beroperasi sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR) dari tahun 1992 hingga 1998. PERUBAHAN PENTADBIRAN DAN PENGGABUNGAN SEKOLAH
Mulai 1 Januari 1999, pentadbiran Maahad Pontian telah diambil alih oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi tujuan menaik taraf sekolah ini sebagai Sekolah Berasrama Penuh di daerah Pontian. Pada awal Januari 2002, Jabatan Agama Negeri Johor mencadangkan agar Sekolah Arab Bandar Pontian dan Sekolah Tinggi Arab digabungkan di bawah satu pentadbiran. Setelah persetujuan dicapai dan proses dokumentasi dilengkapkan, kedua-dua sekolah tersebut telah digabungkan secara rasmi dengan nama Maahad Pontian. Susulan penggabungan tersebut, Ustaz Haji Salam bin Haji Abd Rahman telah dilantik sebagai Pengetua pertama Sekolah Maahad Pontian. Pada tahun 2009, jawatan pengetua telah disandang oleh Ustaz Ahmad Paiman bin Sajimin bagi menggantikan Ustaz Haji Salam yang bersara pada tahun 2007. Walaupun telah bersara, Ustaz Haji Salam terus dilantik sebagai Penasihat Sekolah dan Guru Pakar, serta masih aktif menyumbang kepakaran demi perkembangan sekolah. PENAIKTARAFAN DAN PENCAPAIAN SEKOLAH
Pada 14 Ogos 2012, Maahad Pontian telah dinaik taraf kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan. Majlis tersebut turut disaksikan oleh DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Pada tahun 2013, Aliran Sains telah diperkenalkan melibatkan subjek Biologi, Fizik dan Kimia. Beberapa orang guru siswazah ditempatkan bagi subjek Sains Tulen, Bahasa Inggeris dan Kaunseling, dan penempatan ini berterusan sehingga ke hari ini. Sepanjang 2014 hingga 2016, pelbagai pembangunan dan kemudahan telah disediakan. Tahun 2016 mencatatkan sejarah gemilang apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencapai prestasi terbaik sepanjang 25 tahun penubuhan, dengan 3 orang pelajar memperoleh 9A. Pada tahun 2017, Maahad Pontian telah menyambut Ulang Tahun ke-25 (Jubli Perak). Pada tahun tersebut juga, Maahad Pontian turut dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Ihtifal Riyadhi Sekolah Menengah Agama Peringkat Negeri Johor.