15/08/2015
(Ekspedisi bermula)
Seingat saya, permulaan belajar di sekolah rendah cina adalah satu pengalaman yang amat memeritkan, kerana saya masih tidak mampu bercakap bahasa cina dengan fasih dan masih banyak perkataan yang tidak saya kenali, guru-guru juga terpakasa memberi perhatian lebih kepada saya kerana bimbang saya ketinggalan. Guru-guru pada zaman dulu sangat tegas, membuatkan saya kadang kala berasa takut untuk ke sekolah, masalah komunikasi terus membelenggu diri, saya menjadi seorang yang sangat pendiam dan hanya bersendiri setiap masa, tatkala waktu rehat saya hanya mampu merenung rakan sekelas yang lain bermain sesama sendiri dan makan di kantin, saya juga tidak boleh makan bersama mereka kerana tidak terdapat makanan halal yang disediakan di kantin, maklumlah pada masa itu hanya saya seorang sahaja pelajar Islam yang ada. Bukan saya berat mulut, tetapi rakan sekelas yang lain seakan tidak mempedulikan saya mungkin kerana warna kulit membuat mereka tidak berani mendekati saya, saya tidak sekali pun berasa kecil hati ataupun marah, kerana saya faham mereka masih belum boleh menerima keadaan saya. Latihan yang diberi setiap hari sangat banyak, saya menghadapi kesukaran untuk menghabiskannya. Tambahan p**a dengan rotan yang menanti jika gagal menyiapkan tugasan. Saya menjadi semakin gusar saban hari, tetapi ibu saudara yang menjaga saya pada waktu itu telah banyak membantu saya menghadapi waktu kesukaran ini, masih jelas di ingatan saya, demi membantu saya menyiapkan tugasan sekolah, dia sanggup membawa saya menaiki basikal ‘chopper’nya pergi ke pam minyak, kedai jahit semata-mata untuk mendapatkan bantuan rakan cinanya kerana hendak bertanyakan tugasan bahasa cina yang tidak saya fahami, hingga sekarang tidak sekali saya lupakan jasanya, oleh kerana pengorbanannya, tidak sesekali saya ingin berputus asa untuk terus belajar, kerana saya sedar, sepanjang perjalanan ini, ramai yang telah berkorban untuk saya, oleh itu, hutang budi ini akan saya bayar suatu hari nanti.