25/12/2024
TVET MAMPU BANTU GRADUAN PEROLEH GAJI PROGRESIF
PENDIDIKAN vokasional dan teknikal (TVET) menekankan kepada pendidikan yang berasaskan kemahiran praktikal dan teknikal yang diperlukan dalam industri.
Terdapat banyak kelebihan dalam memilih TVET sebagai pilihan laluan pendidikan, salah satunya sebab adalah keupayaan lulusan TVET untuk mendapat gaji progresif yang lebih tinggi dalam industri.
Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 73 peratus majikan melaporkan bahawa mereka mengalami kesukaran dalam mencari pekerja yang mempunyai kemahiran yang sesuai.
Ini menunjukkan keperluan bagi graduan untuk mempunyai kemahiran praktikal dan relevan dengan keperluan pasaran kerja. TVET juga telah memberikan impak yang positif dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menurut laporan Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 91.6 peratus graduan TVET telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam masa enam bulan selepas tamat belajar. Kursus-kursus TVET ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran mereka dan mendapatkan pengalaman sebenar di industri. Graduan TVET mempunyai kelebihan dalam mendapatkan pekerjaan dan memperoleh gaji yang lumayan.
Gaji progresif
Gaji progresif adalah satu konsep yang dipraktikkan dalam banyak industri untuk memberikan ganjaran yang lebih tinggi kepada pekerja yang mempunyai kemahiran dan pengalaman yang diperlukan oleh syarikat.
Ini bermakna, pekerja akan menerima gaji yang lebih tinggi seiring dengan kemahiran dan pengalaman mereka di dalam industri. Sekiranya graduan mempunyai kemahiran dan pengalaman, mereka akan menerima gaji yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja lain yang mempunyai kelayakan yang sama tetapi tidak mempunyai kemahiran praktikal.
Gaji progresif sebagai contoh pelaksanaan di Singapura yang mana kerajaan negara tersebut menetapkan gaji yang diberi kepada pekerjanya adalah berdasarkan kelayakan dan kemahiran serta produktiviti.
Di setiap syarikat atau industri, kerajaan Singapura sudah ada satu jadual gaji yang lengkap, sekiranya kemahiran meningkat kepada tahap tertentu maka gajinya akan naik mengikut skala gaji dan pekerja akan sentiasa dipantau. Dengan itu setiap pekerja tahu apa yang mereka perlu lakukan untuk dinaikkan gaji.
Artikal penuh boleh di lihat dipautan berikut:
https://malaysiagazette.com/2023/05/30/tvet-mampu-bantu-graduan-peroleh-gaji-progresif/
Oleh:
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor
&
Profesor Dr. Abdul Talib Bon
Profesor Pengurusan Pengeluaran dan Operasi dan Pengarah Teaching Factory
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Johor