13/08/2026
LAWATAN PENANDA ARAS DARI SMK SERI SAUJANA
12 Ogos 2026 — SMA MAIWP Kuala Lumpur berbesar hati menerima kunjungan rombongan penanda aras dari SMK Seri Saujana. Rombongan tersebut diketuai oleh PK HEM, Puan Yusnah binti Mohd Junus, bersama Penyelaras Kelas Aliran Agama, Puan Aina Mardhiah binti Anuar, serta warden-warden dari SMK Seri Saujana.
Lawatan penanda aras ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan melihat dengan lebih dekat pengurusan serta pengoperasian asrama di SMA MAIWP, khususnya dari aspek sistem dan tadbir urus yang dilaksanakan.
Antara fokus utama lawatan adalah pengurusan asrama, pengurusan sistem fail yang sistematik, pelaksanaan Program Keselamatan Makanan (ProKem) di Dewan Makan Asrama, serta aspek kepimpinan dan pembangunan sahsiah pelajar asrama.
Alhamdulillah, program telah berlangsung dengan lancar dan penuh manfaat. Sesi perkongsian ilmu dan pengalaman yang berlangsung diharapkan dapat memberikan inspirasi serta idea baharu dalam usaha memperkasakan pengurusan asrama di kedua-dua institusi.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak SMK Seri Saujana kerana memilih SMA MAIWP sebagai lokasi lawatan penanda aras kali ini.
Semoga segala perkongsian, pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh sepanjang kunjungan ini dapat dibawa pulang, dimanfaatkan dan diterapkan di SMK Seri Saujana demi kecemerlangan pengurusan asrama dan pembangunan kemenjadian murid.