18/04/2026
LAWATAN DAN PERJUMPAAN KHAS BERSAMA YBHG. DATO’ PROF. DR. MOHD FARID RAVI BIN ABDULLAH ✨
PENGKALAN CHEPA, 8 APRIL 2026 — Alhamdulillah, telah berlangsung satu pertemuan khas bersama YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah yang menghimpunkan para pelajar serta warga Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Dewan Putra.
Dalam ucapan aluan, Puan Eksekutif IDIP menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran atas kehadiran dan kunjungan hormat YBhg. Dato’, sebagai seorang alumni IDIP merangkap Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS). Diharapkan pertemuan ini mampu menyuntik inspirasi serta menyemarakkan semangat para pelajar untuk terus mendalami ilmu agama di IDIP.
Dalam sesi yang penuh bermakna ini, beliau berkongsi pengalaman ketika menuntut ilmu di IDIP yang sarat dengan cabaran, di samping menuntut kesabaran dan kecekalan yang tinggi.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk sentiasa bersabar dan istiqamah dalam menuntut ilmu, khususnya kepada golongan saudara baharu (mualaf), agar tidak hanya kekal pada tahap tersebut, bahkan berusaha bangkit menjadi pendakwah yang berilmu serta berperanan dalam masyarakat.
Selain itu, beliau menasihati para pelajar agar tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang diberikan. Sebaliknya, masa yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin demi mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pembentukan sahsiah diri.
Menurut beliau lagi, dalam kehidupan ini tiada sesuatu yang benar-benar sempurna kerana setiap perjalanan pasti mempunyai kekurangan. Namun begitu, kekurangan tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk gagal, sebaliknya dijadikan sebagai dorongan untuk terus melangkah ke hadapan.
Beliau juga menegaskan:
💡 “Orang yang gagal ialah mereka yang sentiasa mencipta alasan, manakala orang yang berjaya akan mencipta sejarah.”
Sehubungan itu, para pelajar diseru untuk membuat pilihan sama ada ingin melakar kejayaan atau terus berada dalam kelompok yang rugi.
Di akhir ucapan, beliau menggalakkan para pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta mendoakan agar seluruh warga IDIP terus maju jaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Semoga perkongsian ini menjadi suntikan semangat kepada semua pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.