04/11/2024
Karnival Sambutan Hari Warga Emas Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Pulau Pinang.
26 Oktober 2024 - USM Initiative of Ageing (USIA) berkolaborasi dengan Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang (JKM) telah menganjurkan Karnival Sambutan Hari Warga Emas Minda Intergenerasi Peringkat Negeri Pulau Pinang. Bertempat di Dewan Muhibbah Merbau Kudung, Sungai Dua, Seberang Prai Utara (SPU), Pulau Pinang dari jam 9 pagi hingga 4 petang dengan kehadiran peserta seramai 380 orang.
Buat julung-julung kalinya, gimik Karnival Warga Emas tahun ini telah dimulakan dengan perarakan masuk dan persandingan kedua mempelai dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Dua yang telah bertemu jodoh semasa sama-sama mengikuti aktiviti di PAWE Sungai Dua. Sebagai adat dan simbolik kasih sayang, acara menepung tawar dan merenjis air mawar telah disempurnakan oleh tetamu-tetamu kehormat yang dimulai oleh Yang Berhormat Puan Lim Siew Khim, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Encik Zakaria Taib, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang, Prof. Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM yang mewakili Naib Canselor USM dan Prof. Madya Dr Haslindar Ibrahim, Pengarah Projek Karnival Sambutan Warga Emas yang turut mewakili Penyelaras USM Initiative on Ageing (USIA) dan Datoβ Ong Bee Leng, Ketua Pegawai Eksekutif, Penang Womenβs Development Corporation (PWDC). YB Puan Lim Siew Khim juga telah merasmi karnival ini.
Karnival ini yang bertemakan βPenuaan Bermaruah: Memperkukuh Hubungan Generasi dan Sinergi Sokongan Sosialβ, dengan memberi penekanan kepada aspek pentingnya merapatkan jurang antara dua generasi dan berharap dapat mewujudkan kolaborasi dan sinergi yang utuh antara pihak-pihak yang terlibat. Sebanyak sembilan (9) pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) iaitu PAWE Sungai Dua, PAWE Permatang Pauh, PAWE Bukit Mertajam, PAWE Batu Kawan, PAWE Bayan Baru, PAWE Balik Pulau, PAWE Kepala Batas, PAWE Bukit Bendera dan PAWE Jelutong dengan aktifnya telah menyertai aktiviti yang telah dilaksanakan dalam karnival.
Di samping itu, pelbagai agensi terlibat dalam pameran dan membuka reruai. Antara pihak yang terlibat ialah Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (PPUSM) Bertam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Be-Vital, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara, Penang Woman Development Corporation (PWDC), Kelab AKPK Universiti Sains Malaysia, Financial Education Network (FEN), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpnan Pekerja (KWSP), Bank Negara Malaysia, Life Insurance Association of Malaysia (LIAM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Glambooth Sdn Bhd., La Plage Rough dan Butik Pengantin dan Spa Cik Bunga Tasek Gelugor.
Pada sebelah pagi, dewan telah dihangatkan dengan persaingan sengit Pertandingan Bakat Duo Intergenerasi Talent (Nyanyian Duet Warga Emas dan Warga Muda) yang telah dimenangi oleh PAWE Batu Kawan. Dewan turut gamat dan terhibur dengan menyaksikan Pertandingan Peragaan Anggun 2 generasi (Tema Tradisional Anggun) yang telah dimenangi oleh PAWE Batu Kawan, manakala Pertandingan Sepak Raga Bulatan (Pasangan warga emas dan muda yang paling lama tanggung bola) telah dijuarai oleh PAWE Balik Pulau. Upacara penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Lim Siew Khim. Yang Berhormat turut mengumumkan penyampaian bantuan kewangan sebanyak RM3000 kepada setiap PAWE sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap warga emas yang aktif dalam menjalankan aktiviti masyarakat dan komuniti.
Semoga program seperti Karnival Warga Emas ini dapat memberi kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan mental dan fizikal, celik kewangan dan menjadi mampu menjadi terapi kesunyian ke semua peserta dan tetamu yang hadir. Program-program seperti ini antara usaha penganjur dalam melahirkan warga emas yang aktif (Aktif Ageing) dan mengurangkan risiko-risiko penyakit seperti Dementia dan kemurungan dalam kalangan warga emas.