18/08/2026
UMPSA Tuan Rumah Mesyuarat Jawatankuasa Akademik dan Antarabangsa (JKAA MTUN)
PAYA BESAR, 17 Ogos 2026 β Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Akademik dan Antarabangsa (JKAA) Majlis Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Mesyuarat diadakan pada 17 Ogos 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Senat Canseleri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Paya Besar.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Profesor Dr. Mohd Rizal bin Salleh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Mesyuarat JKAA MTUN menjadi platform penting bagi membincangkan perkembangan serta memperkukuh agenda akademik dan antarabangsa dalam kalangan universiti di bawah MTUN. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan kualiti akademik, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta meningkatkan daya saing institusi pendidikan tinggi teknikal di peringkat nasional dan global.
Selain itu, mesyuarat turut membuka ruang kepada ahli jawatankuasa untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta membincangkan strategi dan inisiatif yang dapat menyokong pembangunan akademik dan pengantarabangsaan MTUN secara lebih bersepadu.
Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan MTUN dalam memperkukuh kerjasama strategik antara universiti teknikal serta memastikan agenda akademik dan antarabangsa sentiasa seiring dengan keperluan semasa dan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Pada mesyuarat yang sama juga penyerahan secara simbolik Laporan Hasil Artikulasi Politeknik - MTUN yang disediakan oleh Prof Ts Dr Mohd Ruzami bin Mat Rejab, Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik UMPSA dengan kerjasama Unit TVET (Bahagian Dasar & Penyelidikan) KPT.
Diharapkan hasil perbincangan dan keputusan yang dicapai dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan inisiatif yang memberikan impak positif kepada warga universiti, khususnya dalam aspek kecemerlangan akademik, mobiliti, kolaborasi antarabangsa dan pembangunan bakat berdaya saing global.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Kamal bin Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Ts. Dr. Profesor Dr. Afandi bin Ahmad, Setiausaha Bahagian Dasar & Penyelidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dr. Zurina binti Abdul Hamid, Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Hj. Daud bin Isa. Turut hadir secara dalam talian Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UNIMAP Profesor Ir. Dr. Mohd Shukry bin Abdul Majid.