10/10/2021
[FITNAH MEDIA SOSIAL]
Dizaman yang serba canggih dan moden ini, fitnah tersebar melalui hujung jari sahaja dengan menggunakan telefon pintar atau skrin komputer. Hal ini bukan sahaja memburukkan maruah mangsa fitnah, malah lebih malang lagi ia mampu membawa kepada penyakit sosial yang buruk dengan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran surah Al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka bertabayyunlah (selidiklah untuk menentukan kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan .”
Oleh itu, jika kita terbaca sebarang posting yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, nasihatilah rakan kita yang berkongsi posting tersebut.
Namun jika tidak mampu menasihatinya, maka kita buangkan sahaja tanpa perlu memberi sebarang respons.
Tidak terfikirkah kita tentang nasib individu yang menjadi mangsa fitnah, bagaimana agaknya dia ingin berdepan dengan masyarakat dan negaranya bahkan seluruh masyarakat dunia mengecam dan menghina maruah dirinya.
Oleh itu, kita sebagai umat Islam, tidak sepatutnya terlibat sama dalam menyebarkan fitnah tersebut
Ingatlah, amaran yang keras daripada Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al-Nur ayat 19: “Sesungguhnya orang-orang yang s**a hebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
Justeru, sebagai umat Islam jauhilah kerja-kerja penyebaran fitnah ini.
Janganlah kita merasa seronok menularkan berita-berita yang kita tidak tahu kesahihannya hanya semata-mata untuk menjadi juara di laman sosial.
sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/khutbah-jumaat-banggakah-kita-menjadi-tukang-viral-fitnah-di-media-sosial-321576