15/08/2024
JADILAH SEPERTI SEEKOR BURUNG
Burung salah satu makhluk Allah SWT yang banyak kali disebut dalam Al Quran dan hadis. Keistimewaan burung antaranya adalah sifat tawakkalnya yang tinggi kepada Allah.
Dalam bab rezeki, si burung tidak pernah ragu-ragu tentang adanya rezeki Allah setiap hari. Ia keluar dari sarangnya dengan perut kosong lalu pulang semula dengan perut kenyang. Langsung tiada syak pada rezeki Allah.
Hatinya setiap masa ibarat meratib bahawa,
"Rezekiku di tangan Allah. Rezekiku sentiasa ada. Di mana sahaja aku pergi di situ pasti ada rezeki yang Allah letakkan buatku. Allah tidak akan gerakkanku ke suatu tempat melainkan di situlah rezekiku"
Kerana itulah Rasulullah SAW menyebut,
لو توكلتم على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير ، يغدو خماصا وتروح بطانا
"Jikalau kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal (tidak syak walau sedikit pada rezekimu) nescaya Allah akan kurniakan rezeki kepada kamu seperti Dia berikan rezeki kepada seekor burung, keluar di pagi hari dalam perut kosong dan pulang di petang hari dalam perut kenyang.."
Hati orang yang bertawakkal adalah seumpama hati seekor burung dan merekalah yang akan menghuni syurga Allah. Sabda Rasulullah SAW :
يدخل الجنة أقوام أفئدتهم مثل أفئدة الطير
" Akan masuk syurga satu kaum hati mereka seperti hati seekor burung"
Sama2 kita belajar dari si burung yang sangat hebat ini !
والله أعلم