02/08/2021
GURU PASTI CARUM PERKESO : TERIMA KASIH DPPM DAN PASTI MALAYSIA
Tanggal 1 Ogos 2021 secara rasminya guru-guru PASTI khususnya diseluruh Malaysia telah berjaya dicarumkan dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Kami guru-guru PASTI Malaysia merasa amat bertuah dan bersyukur dengan berita ini. Setelah sekian lama berita seperti ini kami tunggu. Mudah-mudahan dengan inisiatif ini nasib guru-guru PASTI akan lebih terbela terutama apabila berlaku sebarang musibah.
Caruman Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS) bagi mereka yang kerja sendiri, kerana terdedah dengan bahaya sekeliling. Ini termasuk penyakit, pekerjaan, dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.
Jesteru kami guru-guru PASTI seluruh Malaysia menyambut baik berita ini dengan rasa syukur dan terima kasih kepada DPMM dan PASTI Malaysia. Ianya menjadi pemangkin kepada kami untuk terus menabur bakti mencurah keringat mendidik anak bangsa.
Kami amat bersyukur kepada Allah SWT dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha yang cukup sukar ini , bagi memastikan bahawa Guru PASTI adalah juga warganegara yang mendapat pembelaan serta diberi hak untuk hidup dan dilayan sebagai warganegara sebagaimana entiti masyarakat atau individu lain yang dapat menikmati dan merasakan nasib mereka dan keluarga terbela sekiranya berlaku sebarang musibah.
Harus disedari PASTI juga adalah salah satu entiti masyarakat yang telah turut sama menyumbangkan pulangan ekonomi , pendidikan, sosial yang bermenafaat kepada negara, seperti peluang pekerjaan dan tanggungjawab pendidikan yang tidak bergantung kepada peruntukan atau dana dari kerajaan.
Semoga dengan pendaftaran caruman PERKESO yang diusahakan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Lembaga Pengarah PASTI Malaysia ini akan dapat menghilang tandatanya dan keresahan dari warga PASTI berhubung dengan perkara ini.
Hjh Saadiah Hj Abu Bakar
ketua MGPM (PJK)
Majlis Guru PASTI Malaysia
2Ogos 2021| 23Zulhijjah 1442H