16/10/2026
INTERNATIONAL SUSTAINABLE INNOVATION & ENGINEERING TECHNOLOGY COMPETITION (i-SINERGIE) 2026
International Sustainable Innovation & Engineering Technology Competition (i-SINERGIE) 2026 merupakan sebuah pertandingan inovasi peringkat antarabangsa yang bertujuan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, meningkatkan kerjasama aktif antara Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) dengan institusi serta agensi dalam dan luar negara, di samping menggalakkan penyebaran ilmu dan pertukaran teknologi melalui hasil penyelidikan dan inovasi.
Majlis perasmian i-SINERGIE 2026 disampaikan oleh YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Program ini turut menampilkan lima keynote speaker dari institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara, iaitu Dr. Manoj Kumar Singh dari King Mongkut’s University of Technology North Bangkok, Thailand; Dr. Novia Amalia Sholeha dari Institut Pertanian Bogor, Indonesia; Ts. Dr. Ahmad Ilyas bin Rushdan dari Universiti Teknologi Malaysia, Malaysia; Dr. Fu Kai, Ketua Bidang Teknologi Pemprosesan Makanan dari Guizhou Vocational College of Foodstuff Engineering, China; serta Dr. S. Sayanthan dari University of Jaffna, Sri Lanka. Penglibatan para ilmuan ini diharapkan dapat memperluas perkongsian ilmu, meningkatkan pertukaran kepakaran serta mengukuhkan jaringan kerjasama penyelidikan dan inovasi di peringkat antarabangsa.
Bagi pertandingan i-SINERGIE 2026, sebanyak 205 projek telah dipertandingkan dan berjaya menghasilkan pencapaian sebanyak 75 Anugerah Emas, 69 Anugerah Perak dan 61 Anugerah Gangsa. Pengumuman pemenang melibatkan lima kategori utama, iaitu Chemical & Food Technology, Chemical & Process Engineering, Technology & Engineering, Green Technology & Engineering dan Industrial Revolution 4.0 yang meliputi dua kategori iaitu IPT dan sekolah menengah.
Penganjuran i-SINERGIE 2026 diharapkan dapat menjadi platform yang berkesan untuk mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi, memupuk budaya inovasi dalam kalangan peserta serta memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dan agensi di peringkat nasional dan antarabangsa. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta atas penyertaan serta pencapaian yang membanggakan dalam menjayakan i-SINERGIE 2026.
'Empowering a Sustainable Future Through Innovation'