06/08/2026
THE POWER OF PRESENCE: BUILDING A LASTING PROFESSIONAL IMPRESSION (ITA216) | 4–5 OGOS 2026
Telah berlangsung kursus The Power of Presence: Building a Lasting Professional Impression (ITA216) anjuran Pusat Pembangunan Pentadbiran (PPT), ILD UiTM. Program ini dirangka bagi memperkukuh Kompetensi Teras (Komunikasi Interpersonal) dalam kalangan staf pentadbiran Gred 1–10 (SSPA) / 11–44 (SSM) yang mewakili pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj). Pelaksanaannya bertujuan untuk memperkasa peserta dalam membina kehadiran profesional, meningkatkan keyakinan diri, serta membentuk imej profesional yang positif dan berkekalan dalam persekitaran kerja. Kursus telah dilaksanakan secara bersemuka di Bilik Sarana 2, ILD UiTM Bandar Enstek.
Pengisian modul memberi fokus kepada elemen pembangunan imej dan komunikasi profesional yang merangkumi asas imej yang berpengaruh, pembentukan jenama profesional diri, panduan bergaya secara profesional, kepentingan mengenal diri sebelum berkomunikasi, etika profesional dalam berkomunikasi, serta pembinaan gaya komunikasi yang efektif. Sesi telah dikendalikan oleh Puan Nurfarawahidah binti Badruesham, Pustakawan Kanan di Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Pembelajaran telah dilaksanakan melalui pendekatan ceramah interaktif, kajian kes, perbincangan kumpulan, pembentangan, pembelajaran berasaskan masalah (PBL), latihan amali (hands-on) serta sesi soal jawab bagi memastikan kefahaman yang menyeluruh dan aplikatif.
Program ini menyokong pembangunan Kompetensi Teras (Komunikasi Interpersonal) di samping memupuk kesedaran dan penghayatan nilai ESI i-DART dan model BUDI UiTM dalam pekerjaan seharian. Sekalung penghargaan dirakamkan kepada penceramah dan para peserta atas komitmen serta penglibatan aktif yang diberikan sepanjang program berlangsung. Semoga inisiatif ini terus melahirkan staf pentadbiran yang berkeyakinan tinggi, berimej profesional, dan mampu memberikan impak positif demi kecemerlangan organisasi.