19/08/2026
FATWA JORDAN: ZAKAT
Tajuk: Harta yang Disimpan sebagai Zakat Tidak Wajib Dizakatkan Sekali Lagi
No. Fatwa: 3954
Tarikh: 5 Mac 2025
Klasifikasi: Golongan yang Wajib Menunaikan Zakat dan Harta yang Wajib Dizakatkan
Jenis Fatwa: Fatwa Berasaskan Kajian
M***i: Jawatankuasa Fatwa
Soalan
Apakah hukum seseorang yang memiliki harta yang mencapai nisab dan wajib dikeluarkan zakatnya, tetapi dia tidak menunaikan zakat tersebut sehingga masuk haul yang berikutnya? Adakah jumlah zakat yang tertunggak daripada haul sebelumnya hendaklah ditolak daripada asas pengiraan zakat (وعاء زكوي) bagi haul kedua, atau jumlah tersebut turut dikenakan zakat sekali lagi?
Jawapan
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan kami Rasulullah ﷺ.
Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Ia adalah suatu ibadah berbentuk harta yang diwajibkan ke atas harta golongan yang berada. Zakat wajib ditunaikan dengan segera sejak hari ia menjadi wajib. Hal ini kerana zakat merupakan hak golongan fakir, dan haram menangguhkan penunaian hak kepada mereka yang berhak menerimanya kecuali dengan sebab yang dibenarkan oleh syarak.
Sekiranya seseorang menangguhkan pembayaran zakat tanpa keuzuran yang diiktiraf oleh syarak, maka dia berdosa kerana perbuatan tersebut dan kekal bertanggungjawab untuk menunaikannya.
Syeikh al-Islam Imam al-Nawawi رحمه الله berkata:
الزكاة عندنا يجب إخراجها على الفور، فإذا وجبت وتمكن من إخراجها؛ لم يجز تأخيرها، وإن لم يتمكن فله التأخير إلى التمكن، فإن أخر بعد التمكن؛ عصى وصار ضامناً
“Menurut mazhab kami, zakat wajib dikeluarkan dengan segera. Apabila zakat telah menjadi wajib dan seseorang mampu mengeluarkannya, maka tidak harus baginya menangguhkannya. Sekiranya dia belum mampu, maka dia boleh menangguhkannya sehingga dia mampu. Namun, sekiranya dia menangguhkannya setelah mampu, maka dia telah melakukan maksiat dan menjadi orang yang bertanggungjawab menjaminnya.”
[Al-Majmūʿ Sharḥ al-Muhadhdhab, 5/333]
Harta yang telah diasingkan dan disimpan sebagai zakat tidak lagi diwajibkan zakat ke atasnya untuk kali kedua. Hal ini kerana harta tersebut telah menjadi milik golongan fakir. Walau bagaimanapun, orang yang wajib menunaikan zakat tetap berdosa kerana menangguhkan penyerahannya sekiranya dia mampu menyerahkannya tetapi tidak berbuat demikian.
Imam Abu Ishaq al-Shirazi رحمه الله berkata:
فإن قلنا: أنها تجب في العين، وعنده نصاب وجبت فيه الزكاة، فلم يؤد حتى حال عليه حول آخر، لم يجب في الحول الثاني زكاة؛ لأن الفقراء ملكوا من النصاب قدر الفرض، فلم يجب في الحول الثاني زكاة؛ لأن الباقي دون النصاب
“Sekiranya kita berpendapat bahawa zakat itu wajib pada harta itu sendiri (al-ʿayn), dan seseorang memiliki harta yang mencapai nisab serta wajib zakat padanya, tetapi dia tidak menunaikannya sehingga berlalu haul yang berikutnya, maka tidak wajib zakat pada haul kedua. Hal ini kerana golongan fakir telah memiliki daripada nisab tersebut kadar yang diwajibkan [sebagai zakat]. Oleh itu, tidak wajib zakat pada haul kedua kerana baki harta tersebut kurang daripada nisab.”
[Al-Muhadhdhab, 1/268]
Berdasarkan perkara tersebut, harta yang wajib dikeluarkan sebagai zakat tidak dikenakan zakat sekali lagi. Oleh itu, jumlah zakat yang wajib dikeluarkan pada setiap tahun hendaklah diasingkan, dan jumlah tersebut hendaklah ditolak daripada asas pengiraan harta zakat bagi tahun berikutnya.
Dan Allah SWT jualah Yang Maha Mengetahui.
PENUNTUT ILMU