04/01/2026
| 3 PERKARA PENTING KETIKA MENCECAH UMUR 40 TAHUN |
Bismillah Walhamdulillah.
Sudah satu pertiga akhir hayatku, semalam.
الحمدلله الذي بنعمته تتم الصالحات
Istimewanya mencecah umur empat puluh, ada sebuah pesanan dan doa khas di dalam Al-Quran, letaknya di dalam ayat 15 Surah al-Ahqaf (46) untuk diamati dan diamalkan. Ana kongsikan tadabbur secara ringkas (tetapi tulisan ini panjang), semoga bermanfaat. ربنا تقبل منا
✅ PERINTAH (WAJIB) :
1. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa (ihsan).
وَوَصَّیۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَ ٰلِدَیۡهِ إِحۡسَـٰنًاۖ
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya...”
- Berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa semasa hidupnya mahupun setelah meninggal dunia.
- Bagaimana?
- Ketika hidupnya : Mendoakan mereka berdua, menghormatinya, memberi kasih sayang, mencukupkan keperluannya, bermanis muka, merendahkan suara, mematuhinya (selagi tidak melanggar syarak)
- Setelah meninggal dunia : Mendoakan, memohon keampunan bagi keduanya, menghormati keluarga, teman dan kenalan keduanya
- Kenapa wajib berbakti kepada kedua ibu bapa? Kerana ibu dan bapa adalah ‘sebab’ kepada kewujudan dan keberadaan kita di dunia.
(Doa kepada ibu bapa antaranya :
Rujuk : QS Ibrahim, 14 : 41 | QS Al-Isra’, 17 : 24 | QS Nuh, 71 : 28)
2. Berbudi kepada ibu - disebutkan secara khusus kerana kepayahan ibu khususnya ketika mengandungkan - melahirkan - menyusukan sehingga ‘bercerai’ susu.
حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ كُرۡهࣰا وَوَضَعَتۡهُ كُرۡهࣰاۖ وَحَمۡلُهُۥ وَفِصَـٰلُهُۥ ثَلَـٰثُونَ شَهۡرًاۚ
“…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan...”
- Ayat ini mengisyaratkan bahawa hak seorang ibu lebih tinggi dan lebih kuat berbanding seorang bapa. Tidaklah Islam menafikan pengorbanan dan kepayahan seorang bapa dalam menafkahi, namun kerana kepayahan ibu dalam fasa kehamilan - kelahiran - penyusuan itu jauh lebih perit dan meletihkan.
Kenapa umur 40 diingatkan semula, dengan kewajipan (asas) dalam kehidupan seorang anak iaitu berbakti kepada kedua ibu bapa?
Kerana, seorang manusia lazimnya samada lelaki mahupun perempuan, telah memiliki kedewasaan, kesempurnaan dan kematangan hidup, adapun secara fizikal dan material, intelektual, mental apatah lagi (seharusnya) spiritual.
Janganlah pasangannya, keluarganya, kerjaya dan kedudukannya, pendidikannya, harta benda dll - membuatkan kita mengabaikan perhatian dan keperluan kedua ibu bapa. Muliakanlah kedua ibu bapa, sungguh pun kita sudah ‘menggengam dunia’.
Maka, diingatkan semula, bahawa kita ini dikandung, dilahirkan, disusukan, dijaga, dididik, dikasihi oleh kedua ibu bapa,
Sehingga…
حَتَّىٰۤ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُۥ وَبَلَغَ أَرۡبَعِینَ سَنَةࣰ
“…Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun…”
- Ulama tafsir membahaskan perkataan حَتَّىٰۤ maksudnya فعاش (lalu dia hidup) atau طالت حياته (hidupnya panjang)
- Ertinya : sehingga dia besaq panjang/sampai umur 40 dan mencapai kedewasaan, kesempurnaan dan kematangan hidup
PERINTAH kepada anak-anak, khususnya ketika mencecah 40 tahun untuk memberi perhatian kepada kedua ibu bapa kerana ibu bapalah penyebab kepada adanya kita di dunia, diikuti sebuah DOA untuk diamalkan.
Maka, (hendaklah) dia berdoa :
✅ PERMOHONAN - DOA :
1. Memohon agar Allah mengilhamkan/menjadikan kita orang yang bersyukur terhadap nikmat
رَبِّ أَوۡزِعۡنِیۤ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِیۤ أَنۡعَمۡتَ عَلَیَّ وَعَلَىٰ وَ ٰلِدَیَّ
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku,…”
- Bersyukur kepada Allah terhadap dua nikmat ;
- Nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita
- Nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kedua ibu bapa kita
- Apakah NIKMAT itu?
- Nikmat agama dan hidayah serta nikmat dunia (akal, badan, ilmu, rezeki dll) yang telah Allah kurniakan kepada kita dan kepada kedua ibu bapa kita
- Kesolehan seorang anak (kita) - pastinya dengan izin dan bantuan Allah - juga hasil didikan, doa dan teladan ibu bapa
2. Memohon agar Allah mengilhamkan dan mengurniakan hidayah taufiq (petunjuk dan pertolongan-Nya untuk kita melaksanakan sesuatu) untuk beramal soleh yang diredhai-Nya
وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَـٰلِحࣰا تَرۡضَىٰهُ
“…dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai;…”
- Amal yang diredai ialah amalan yang diterima Allah (عملا متقبلا)
- (1) Kita mohon di sini, agar Allah memberi petunjuk kepada kita apakah/manakah amalan yang diredhai-Nya
- (2) Dan kita diberi pertolongan-Nya untuk melaksanakan amalan tersebut (faham, ringan dan mudah untuk kita buat)
- Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah ‘foundation’ kepada amal yang diredhai Allah
3. Memohon agar kesolehan diwarisi/mengalir kepada zuriat keturunan
وَأَصۡلِحۡ لِی فِی ذُرِّیَّتِیۤۖ
“…dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku…”
- Memohon semoga Allah menjadikan anak cucu kita juga menjadi orang yang soleh
- Kesolehan menjadi sifat, sikap dan tabiat anak-anak cucu kita
- Kesolehan diharapkan menjadi turun menurun (ibu bapa kita - anak - cucu)
- Menarik juga untuk dirujuk antara implikasi ibu bapa soleh daripada QS Al-Kahfi, 18 : 82
Perhatikan, DOA diikuti dengan PENGAKUAN TAUBAT dan ISLAM. Itulah antara cara yang terbaik dalam berdoa.
✅ PENGAKUAN
1. Taubat
إِنِّی تُبۡتُ إِلَیۡكَ
“Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu,…”
- Bertaubat daripada dosa dan kesalahan lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya
- Petunjuk bagi mereka yang masuk umur 40 untuk memperbaharui taubat dan tekad dengan taubatnya
2. Penyerahan (muslimin - Islam)
وَإِنِّی مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِینَ
“…dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".
- Berserah diri sepenuhnya kepada Allah, tunduk, taat, patuh, dan mengesakan Allah.
________________________________________
Ayat ini, sebenarnya dikaitkan dengan kisah Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dimana seluruh anggota keluarganya teguh dalam Islam dan Iman (muhajirin). Ibu bapanya masuk Islam dan beriman kepada Allah, Abu Bakar al-Siddiq juga dan seluruh anak-anaknya. Ini panduan agar kita bersyukur atas nikmat hidayah Allah kepada kita, kedua ibu bapa kita dan berharap agar ‘menurun’ kepada anak-anak (dengan izin Allah, doa dan teladan kita juga).
Rumusan :
Umoq 40 sepatutnya ana (dan kita) ;
- Meneguhkan iman kepada Allah (QS Al-Isra’, 17 : 23)
- Memperelokkan kebaktian kepada kedua ibu bapa
- Memperbanyakkan doa khususnya doa dalam ayat ini
- Menjadi orang yang benar-benar bersyukur
- Mengambil dan menjadi teladan yang baik
- Mendoakan keturunan kita
- Memperbaharui dan memperbanyakkan taubat
- Memperbaiki kualiti ‘penyerahan’ dan ketundukan kita kepada Allah.
Antara rujukan (tafasir) :
al-Thobari, Ibn Kathir, al-Nabulsi, al-Sa’di, al-Tahrir wa Tanwir, al-Muyassar.
Wallahu A’lam.
________________________________________
Nanti kawan-kawan study lagi la na, ana kongsikan sebahagian dapatan, yang sebenarnya untuk peringatan ana sendiri. Mohon teguran dan tunjuk ajar para asatizah semua.
جزاكم الله خيرا
Alhamdulillah atas nikmat masih punya mak (82 tahun) dan bapak (84 tahun), yang mendoakan sehingga hari ini.
Alhamdulillah atas nikmat ‘berpasukan’ dengan sabar bersama abang Ustaz selama dua belas tahun ini (sejak 13/12/13).
Alhamdulillah atas nikmat abang kakak dan anak-anak cik yang sentiasa menyokong.
Alhamdulillah atas nikmat kesempatan menuntut ilmu dan menyebarkannya.
Alhamdulillah atas nikmat pembangunan Arafah Academy dan Aseel Travel & Tours. Penting maju, walaupun tak laju.
Alhamdulillah atas semua kurniaan Allah.
الحمدلله حمداً كثيراً طيباً مباركاً فيه
Doakan husnul khatimah untuk ana, kawan-kawan. Saling mendoakan.
BarakAllahu fiikum 💚
(Gambar throwback : Ana & abang Ustaz bersama 16/20 anak sedara & 1/4 cucu sedara sebelah Kedah) Hamdan Lillah.