01/12/2021
Menyesal di Penghujung Nyawa
=================
1. Allah mengingatkan kita di dalam al-Quran bahawa apabila tiba saat kematian, akan ada manusia yang memohon kepada Allah supaya diberikan peluang untuk kembali beribadah di dunia. Firman Allah:
حَتَّىٰ إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ
“Sehinggalah apabila datangnya kematian, dia berkata: Wahai Tuhanku, kembalikan aku ke dunia!” (al-Mukminun:99)
2. Sebahagian mufassir menyatakan bahawa ayat ini adalah berkenaan situasi orang kafir yang menyesal akan kemungkaran serta maksiat yang mereka lakukan di muka bumi ini. Naum secara umumnya, ayat ini turut mengingatkan keadaan muslim mahupun kafir yang berada di ambang kematian mereka. Sabda Rasulullah:
إذا حضر الإنسان الموت جمع كل شيء كان يمنعه من حقه بين يديه فعنده يقول رب ارجعون لعلي أعمل صالحا فيما تركت
“Ketika datangnya kematian kepada seseorang, akan datang terbayanglah semua perkara yang pernah dia tinggalkan (atau tidak lakukan sedangkan sepatutnya dia laksanakan). Maka ketika itu dia berkata: Wahai Tuhanku, kembalikan aku ke dunia agar aku boleh melakukan amal soleh yang pernah aku tinggalkan.”
3. Perhatikan apa yang telah diungkapkan oleh Abu Bakar ketika berada di ambang kematian beliau. Kata Abu Bakar kepada Aisyah:
قال لعائشة: "انظروا ثوبي هذين، فاغسلوهما وكفنوني فيهما، فإن الحي أولى بالجديد من الميت"
“Wahai Aisyah, perhatikan baju ini, bersihkanlah baju ini dan kafankanlah aku dengannya. Kerana pakaian yang baharu itu hanya sesuai untuk yang hidup (sedangkan aku di ambang kematian).
4. Abu Bakar orang yang paling banyak menyumbang untuk Islam. Segala hartanya disumbangkan untuk Islam sehingga di saat kematian, beliau hanya meminta dikafankan dengan pakaian yang sedia ada. Diminta dibasuhkan baju tersebut dan dikafankan dengannya sedangkan hartanya yang lain telah disumbangkan kepada Islam. Lihat bagaimana pengakhiran orang yang soleh, sehingga di saat kematian masih sempat memikirkan amalan kebajikan yang boleh dilakukannya.
5. Perhatikan p**a bagaimana Saidina Umar memohon keampunan Allah di saat kematian beliau. Menurut riwayat, di saat kematian Umar, kepala beliau dipangku oleh anaknya iaitu Abdullah ibn Umar. Umar meminta anaknya supaya meletakkan p**inya ke tanah, merendah diri memohon keampunan dari Allah. Kata Umar kepada anaknya:
ضَعْ خَدِّي بِالأَرْضِ لا أُمَّ لَكَ , وَيْلِي وَوَيْلُ أُمِّي إِنْ لَمْ يَغْفِرِ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ
“Letakkan p**i aku ke tanah! Celakalah buat diriku dan ibuku sekiranya Allah tidak memberikan keampunan buatku!”
6. Disaat kematian ini, Umar masih sempat lagi memohon keampunan kepada Allah sedangkan beliau adalah antara sepuluh sahabat yang telah dijanjikan syurga.
7. Sahabat-sahabat yang telah dijanjikan syurga ini, di saat kematian mereka masih lagi utuh memikirkan sumbangan mereka untuk Islam bahkan memohon keampunan dari Allah. Mereka adalah watak utama yang berjuang untuk mempertahankan Islam. Namun di saat kematian, mereka turut bimbang dengan amalan mereka lalu mereka memohon keampunan dari Allah.
8. Lalu kita, apakah yang telah kita perjuangkan buat Islam. Apakah telah banyak istighfar yang telah kita mohon kepada Allah.
Muhasabah untuk diri sendiri. Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
10/11/2021
Kenapa Rasulullah Beristighfar?
===========
1. Ketika membahaskan tentang hadith istighfar, Sheikh al-Dahlawi menyebutkan bahawa terdapat sarjana Muslim yang berasa hairan mengapa Rasulullah sering beristighfar sedangkan Baginda telah diampunkan dosanya. Kata Sheikh al-Dahlawi:
ولقد تحير العلماء في بيان معنى هذا الحديث وتأويله
“Sesungguhnya sebahagian ulama merasa hairan ketika membahaskan hadith ini (hadith istighfar Rasulullah).” Ini kerana kta semua sedia maklum bahasa Rasulullah telah dikurniakan keampunan buat Baginda, bahkan Baginda adalah maksum. Lalu untuk apa lagi istighfar tersebut?
2. Menurut riwayat Sahih Muslim, Rasulullah dikatakan tenggalam dalam kekhusyukkan beristighfar. Sabda Baginda Nabi:
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي، وَإِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِي الْيَوْمِ مِئَةَ مَرَّةٍ
“Sesungguhnnya hatiku tenggelam dalam keseronokan beristighfar. Dan sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah setiap hari serratus kali.” (HR Muslim)
3. Timbul persoalan di sini, mengapa Rasulullah yang maksum ini khusyuk dan tenggelam jiwanya dalam memohon keampunan buat Allah sedangkan Baginda adalah maksum. Menurut al-Imam al-Nawawi, Baginda beristighfar bukan buat dirinya akan tetapi buat umatnya iaitu kita! Kata al-Imam al-Nawawi:
هُوَ هَمُّهُ بِسَبَبِ أُمَّتِهِ وَمَا اطَّلَعَ عَلَيْهِ مِنْ أَحْوَالِهَا بَعْدَهُ فَيَسْتَغْفِرُ لَهُمْ
“Ia adalah disebabkan kerana keperihatian Nabi terhadap umatnya, Baginda memerhati hal ehwal yang akan menimpa umatnya lalu Baginda beristighfar buat mereka. (al-Nawawi, Sharh Muslim).
4. Bayangkan, Rasulullah sendiri memohon istighfar buat kita kerana dosa dan kesilapan yang kita lakukan. Tidak malukah kita kepada Rasulullah yang memohon istighfar buat umatnya sedangkan kita sendiri jarang beristighfar?
5. Menurut al-Qadi Iyyad p**a, Baginda mengucapkan istighfar setiap masa kerana bimbang terdapat terdapat masa yang hatinya leka dari mengingati Allah.
كَانَ شَأْنُهُ الدَّوَامَ عَلَيْهِ فَإِذَا فتَرَ عَنْهُ أَوْ غَفَلَ عَدَّ ذَلِكَ ذَنْبًا وَاسْتَغْفَرَ مِنْهُ
“Sesungguhnya hati Rasulullah itu sentiasa berada dalam keadaan zikir (mengingati Allah), namun apabila Baginda teralpa atau leka seketika, maka Baginda segera beristighfar kerana leka dari berzikir kepada Allah.” (Sharh Muslim)
6. MashAllah! Begitu tinggi iman seorang Nabi. Tidak ada masa bagi hatinya untuk alpa dari mengingati Allah. Sekiranya terleka seketika, Baginda segera memohon keampunan dari Allah.
7. Malah al-Nawawi menegaskan bahawa istighfar Rasulullah itu adalah manifestasi pengabdian Baginda kepada Allah, iaitu menundukkan seluruh jiwa dan raganya hanya kerana Allah sebagai tanda hamba yang bersyukur.
8. Andai Rasulullah sendiri beristighfar untuk kita setiap hari, malulah kita jika kita sendiri tidak beristighfar setiap hari. Malah sekiranya Rasulullah sendiri beristighfar untuk menzahirkan sifat kehambaan dan syukur kepada Allah, maka kita lebih perlu untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
23/10/2021
Doa Rasulullah Saat Kebimbangan
=======
Saidina Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah itu apabila melalui saat-saat kesusahan atau kebimbangan, maka Baginda akan memohon bantuan dari Allah dengan mengucapkan:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ
"Wahai Yang Maha Hidup, Yang terus menerus mengurus, maka dengan Rahmat-Mu aku memohon bantuan." (HR al-Tirmizi)
Hadis ini mengingatkan kita bagaimana Rasulullah mendidik para sahabat sentiasa menjadikan Allah sebagai tempat pergantungan pada setiap keadaan.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
04/10/2021
Jangan Jemu Doakan Ibubapa Kita
=======
1. Rasulullah mendidik para sahabat supaya sentiasa mendoakan kedua ibubapa. Ini kerana, doa kita mampu membantu meninggikan kedudukan mereka di sisi Allah. Sabda Rasulullah:
إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ أَنَّى هَذَا؟ فَيُقَالُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ
"Seorang lelaki diangkat kedudukannya di dalam syurga (kelak), lalu dia bertanya: Dari mana datangnya (anugerah kenaikan ini)? Lalu dijawab kepadanya: Daripada doa istighfar anakmu buat dirimu." (HR Ibn Majah - dinilai Sahih)
Perhatikan hadith ini. Rasulullah menceritakan bagaimana seorang lelaki atau wanita akan diangkat darjatnya nanti di sisi Allah melalui doa anaknya buat dirinya!
2. Bahkan, di dalam al-Quran, Allah mengajar kita supaya sentiasa mendoakan kedua ibubapa kita. Firman Allah:
وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka (iaitu kedua ibubapa) sebagaimana mereka mengasihani kami sejak dari kecil.” (al-Isra: 24)
Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Qurtubi berkata:
ثم أمر - تعالى - عباده بالترحم على آبائهم والدعاء لهم
“Kemudian Allah memberikan arahan kepada hambanya supaya sentiasa berlaku baik terhadap kedua ibubapa mereka dan mendoakan mereka.” (Tafsir al-Qurtubi)
3. Mendoakan mereka juga adalah sunnah para Nabi. Di dalam al-Quran Allah mendatangkan beberapa contoh Nabi yang mendoakan kedua ibubapa mereka. Antaranya adalah doa Nabi Nuh:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِناً وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
“Wahai Tuhanku, ampunkanlah kedua ibubapaku dan sesiapa yang masuk ke rumah aku dalam keadaan beriman.” (Nuh: 28)
4. Bahkan sebahagian sarjana Muslim berpandangan bahawa sentiasa berbuat baik kepada ibubapa itu boleh melapangkan rezeki seseorang. Ini kerana menurut al-Imam al-Badr al-Aini, berbuat baik kepada ibubapa itu adalah sebaik-baik amalan dalam menghubungkan silaturrahim. Dan orang yang menghubungkan silaturrahim ini akan dipermudahkan rezekinya di sisi Allah. Sabda Rasulullah:
من أحب أن يبسط له في رزقه فليصل رحمه
“Barangsiapa yang berharap agar diperluaskan rezekinya maka hubungkanlah silaturrahim.”
Dengan itu, jangan jemu mendoakan dan berlaku baik kepada ibubapa kita. Sentiasa doakan mereka seusai solat kita. Semoga Allah membimbing kita
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
07/09/2021
Suami dan Isteri Saling Melindungi
========
1. Dalam al-Quran, Allah memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti. Firman Allah:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
“Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu p**a sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah: 187)
2. Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing. Kata beliau:
جعل اللباس كناية عن الزوج لكونه ستراً لنفسه ولزوجه أن يظهر منهما سوء
“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”
3. Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka. Mereka mungkin sekadar berniat untuk bergurau, namun ia dibimbangi mendedahkan keburukan pasangan tanpa disedari.
4. Malah dalam sebuah hadis, Rasulullah mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka. Sabda Rasulullah:
إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ وَتُفْضِي إِلَيْهِ ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّهَا
“Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (HR Muslim)
5. Begitu juga menurut Rasulullah, sebaik-baik wanita itu adalah yang menjaga hak suaminya. Sabda Rasulullah:
خيرُ النِّساءِ امرأةٌ إذا نظرتَ إليها سرَّتك، وإذا أمرتَها أطاعتك، وإذا غبتَ عنها حفظتَك في نفسِها ومالِك
"Sebaik-baik wanita itu adalah wanita yang tenang hatimu saat memandangnya, dia taat kepadamu saat disuruh, dan ketika engkau tiada, dia menjaga kehormatannya dan memelihara hartamu." (HR Abu Daud al-Tayyalisi)
6. Benarlah kata Sheikh al-Tantawi bahawa melalui ayat ini, Allah mendidik manusia bagaimana setiap pasangan itu seharusnya rapat seperti rapatnya pakaian kepada tubuh badan seseorang, ia melindungi dari segala yang boleh menyakiti.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
05/09/2021
Kelesuan dan Hilang Semangat Dalam Ibadah
=========
1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita bahawa akan ada satu ketika, manusia berasa lemah dan lesu setelah lama mengabdikan diri kepada Allah.
2. Semangat mereka semakin pudar sekalipun telah lama beribadah kepada Allah. Ia seakan kelesuan yang berlaku setelah Ramadan. Dalam sabdanya, Rasulullah mengingatkan kita:
إنَّ لِكُلِّ عملٍ شِرَّةً ، ولِكُلِّ شِرَّةٍ فترة ، فمنْ كان فترتُهُ إلى سنتي فقدِ اهتدى، ومَنْ كانَتْ إِلى غيرِ ذَلِكَ فقدْ هَلَكَ
“Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah dan lesu). Maka, barangsiapa yang dalam tempoh lesu amalannya itu dia masih kekal dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa yang dalam tempoh lesunya itu mengikut (melakukan) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh al-Arna’ut)
3. Renungkan kembali bagaimana adakalanya manusia mampu untuk menunaikan solat sunat berpuluh rakaat di dalam Ramadan, berpuasa sebulan lamanya, namun setelah perginya Ramadan, semangat kian lesu.
4. Titik kelesuan inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis. Lalu Rasulullah berpesan agar kita kekal dalam sunnahnya dan jangan melakukan dosa atau maksiat yang bercanggah dengan Islam.
5. Dalam menghadapi situasi ini, Saidina Ali pernah berpesan:
إن النفس لها إقبال وإدبار، فإذا أقبلت فخذها بالعزيمة والعبادة، وإذا أدبرت فأقصرها على الفرائض والواجبات
“Sesungguhnya jiwa manusia ini bersifat bolak-balik (sekejap menghadap ke hadapan, seketika menghadap ke belakang). Maka ketika jiwa menghadap ke hadapan (iaitu sedang bertenaga), maka ambillah peluang ini dengan penuh kesungguhan dan beribadah (azimah). Namun sekiranya jiwa mula lesu, maka kekal dan kukuhlah atas amalan yang fardu dan wajib (jangan sampai tinggal perkara yang wajib).
6. Begitu juga dari aspek dakwah. Adakalanya jiwa manusia bersemangat mengajak dan menyeru kepada kebaikan. Namun akan datang satu tempoh (futur) dimana mereka merasa penat dalam perjuangan ini.
7. Maka tempoh kelesuan ini amalkanlah doa yang pernah dipatrikan oleh Allah dalam al-Quran:
رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
“"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
04/09/2021
3 cara mudah sebar hadis
1. Meletakkan sanad ringkas dalam hadis seperti ;
Daripada Zaid ibn Thabit, berkata Nabi ﷺ bersabda
Jika hadis itu berstatus dhaif, maka gunakan lafaz " Diriwayatkan daripada Nabi ﷺ ".
2. Letakkan sumber hadis daripada mana kita perolehi hadis tersebut. Contohnya : Sunan Abu Daud, Sahih Bukhari, Al-Maudhuat, dan lain-lain.
3. Letakkan status hadis, sama ada hadis tersebut sahih, Hasan, dhaif, Palsu atau lain. Kalau dapat sertakan sebab kenapa hadis tersebut dhaif juga sangat baik.
Budaya kan 3 cara sebar hadis ini supaya kita lebih berdisiplin dalam menyampaikan sumber hukum agama yang kedua setelah Al-Quran. Kalau ada yang tidak menggunakan cara ini, tinggalkan hadis daripada mereka. Kerana boleh jadi hadis mereka sebarkan salah, dan boleh jadi benar. Akan menimbulkan kecelaruan kalau semua perkara boleh disandarkan kepada Nabi ﷺ.
Sebar dan kongsi budaya ini.
Ibn Ramzi
Hakaza Sunnah & Syabab Quran
Facebook : https://www.facebook.com/HakazaSunnah/
Instagram : Hakaza sunnah & Syaqur
Twitter: