Ia merupakan sekolah kebangsaan yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan beralamat di Peti Surat 12, 89767 Menumbok. Sejarah penubuhan SK Lambidan bermula pada tahun 1964, apabila Ketua Kampung dan penduduk Kampung Lambidan sepakat mengemukakan permohonan untuk membina sebuah sekolah kepada Ketua Anak Negeri (Native Chief) Menumbok ketika itu, iaitu OKK Hj. Ini berikutan Kampung
Lambidan tidak mempunyai sekolah yang menyebabkan keciciran anak-anak kampung dari segi pendidikan. Kebanyakan penduduk kampung tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah disebabkan tiada jalan perhubungan yang menghubungkan kampung dengan sekolah di Menumbok. Malah, jarak antara kampung dan sekolah terdekat iaitu Sk Menumbok adalah sejauh 20 Kilometer. Pada pertengahan tahun 1964, penduduk Kampung Lambidan yang diketuai oleh Allahyarham Tn. Mahmudin Bin Hassim (Ketua Kampung), Allahyarham Tn. Matzakir Bin Moksin mula bergotong-royong membina sebuah bangunan sekolah. Mulanya bangunan sekolah ini hanya didirikan beratapkan daun nipah, berdindingkan kajang dan hanya berlantaikan tanah. Bangunan pertama sekolah ini hanya berukuran lebih kurang 35’ x 25’. Pada 1 Febuari 1965, SK Lambidan mula dibuka setelah mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan dan pada hanya dikenali sebagai Native Voluntry School (Sekolah Sukarela Rakyat). Dua orang tenaga pengajar yang ditempatkan di sekolah ini, iaitu En. Mohd.Kassim Bin Hj.Rahman (Guru Besar) dan dibantu oleh En.Dewa Bin Abd.Hamid yang juga merupakan anak jati Menumbok. Pada ketika itu, murid terawal SK Lambidan hanya seramai 60 orang. Semenjak penubuhannya, SK Lambidan telah mengalami banyak perubahan yang ketara terutamanya pada pembangunan infrastruktur sekolah dengan terbinanya beberapa blok bangunan kelas serta beberapa kemudahan lain seperti kantin, rumah guru, gelanggang serta beberapa kemudahan lain. Pada tahun 2009, Pra Sekolah telah siap dibina dan menerima murid pada awal tahun 2010. Seorang guru Pra Sekolah dan seorang Pembantu Pengurusan Murid telah ditempatkan untuk memastikan anak-anak Lambidan menerima pendidikan awal seiring dengan anak-anak ditempat lain.