27/04/2026
Coretan Bimbingan GEG Sabah bersama SK Pengiran Jaya Pimping, Membakut Beaufort
Hari ini menjadi satu lagi catatan bermakna dalam perjalanan GEG Sabah menyantuni warga pendidik di bumi Sabah, khususnya di SK Pengiran Jaya Pimping, Membakut Beaufort
Di bawah kepimpinan Guru Besar, Puan Suzanne, sekolah ini telah menunjukkan satu komitmen yang sangat membanggakan dalam memperkukuh budaya digital dalam kalangan guru-guru. Kesungguhan beliau bersama seluruh warga pendidik SK Pengiran Jaya Pimping untuk mendapatkan bimbingan Pensijilan Google Certified Educator membuktikan bahawa transformasi pendidikan bermula daripada keberanian untuk belajar, berubah dan melangkah ke hadapan.
Turut bersama dalam bimbingan dan pensijilan ini ialah Dayangku Rodzianah Awangku Amin, Guru Besar SK Lembah Poring Membakut. Kehadiran beliau menambahkan lagi makna kepada usaha ini, apabila lebih ramai pemimpin sekolah tampil bersama-sama menyokong agenda pendigitalan pendidikan. Ini membuktikan bahawa kesedaran terhadap kepentingan kemahiran digital dan kecerdasan buatan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam mempersiapkan guru dan sekolah menghadapi landskap pendidikan masa kini.
Bimbingan ini bukan sekadar tentang mengenal aplikasi Google semata-mata tetapi lebih besar daripada itu. Ia adalah tentang membina keyakinan guru untuk menggunakan teknologi secara lebih bermakna dalam pengajaran dan pembelajaran. Ia juga tentang bagaimana guru dapat memanfaatkan dunia digital sebagai ruang baharu untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih tersusun, interaktif dan relevan dengan keperluan murid masa kini.
Lebih istimewa SK Pengiran Jaya Pimping turut mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan MoU Rakan Strategik bersama GEG Sabah. Kerjasama ini menjadi satu jambatan penting bagi memperkukuh bimbingan berterusan dalam bidang Digital dan Artificial Intelligence khususnya melalui sokongan barisan Google Certified Trainer yang ada dalam komuniti GEG Sabah.
Inilah semangat yang kita ingin suburkan sekolah tidak bergerak sendirian guru tidak dibiarkan mencari arah seorang diri, dan komuniti pendidikan saling mengangkat antara satu sama lain. Apabila kepimpinan sekolah mempunyai visi yang jelas, guru-guru p**a memiliki kemahuan untuk belajar, maka perubahan yang besar pasti boleh digerakkan walaupun bermula dengan langkah yang sederhana.
Tahniah dan syabas kepada Puan Suzanne Guru Besar SK Pengiran Jaya Pimping Membakut, Beaufort. Dayangku Rodzianah Awangku Amin, Guru Besar SK Lembah Poring Membakut, Beaufort. Serta seluruh guru yang telah bersama-sama dalam usaha ini. Semoga perjalanan pensijilan Google ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kejayaan digital sekolah, seterusnya melahirkan ekosistem pendidikan yang lebih bersedia menghadapi cabaran teknologi, inovasi dan kecerdasan buatan.
GEG Sabah akan terus komited menjadi rakan bimbingan, rakan pembelajaran dan rakan strategik kepada sekolah-sekolah yang ingin melangkah lebih jauh dalam dunia pendidikan digital melalui Google.
Tahniah juga kepada dua orang guru daripada SK Pengiran Jaya Pimping, Membakut Beaufort yang sudi menjadi Captain GEG Sabah. Moga dengan ada Captain GEG disekolah ini nanti akan dapat terus membantu pendigitalan yang sedang berlaku.
Dari Membakut kita melangkah,
dari bimbingan kita membina perubahan.
Bersama GEG Sabah untuk Rakan Strategik