13/08/2026
*SIRI JELAJAH INTERVENSI SESI KAUNSELING 2026 DI IKTBN ALOR GAJAH*
MASJID TANAH, 12 Ogos 2026 โ Program Siri Jelajah Intervensi Sesi Kaunseling 2026 telah berlangsung selama dua hari, pada 11 dan 12 Ogos 2026, di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah, melibatkan seramai 42 orang pelajar terpilih berdasarkan dapatan Ujian DASS 21 yang dilaksanakan pada separuh tahun pertama 2026.
Program ini dikendalikan oleh empat orang kaunselor dari Cawangan Pengurusan Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai usaha melaksanakan intervensi awal serta memberikan sokongan psikososial kepada pelajar yang dikenal pasti memerlukan perhatian dan bimbingan.
Sepanjang program, pelajar diberikan ruang untuk mengikuti sesi kaunseling secara lebih dekat bagi membincangkan cabaran berkaitan emosi, tekanan, pembelajaran, kehidupan peribadi serta penyesuaian diri dalam persekitaran institusi.
Program turut diikuti dengan sesi rumusan bersama Puan Nor Azah Ahmad Dahalan, Pengarah IKTBN Alor Gajah.
Dalam sesi tersebut, pasukan kaunselor yang diketuai oleh Cik Nurmaidiana Basari membentangkan dapatan awal hasil sesi kaunseling yang telah dilaksanakan bersama pelajar.
Puan Nor Azah turut bertukar-tukar pandangan dengan pasukan kaunselor mengenai pendekatan yang sesuai dalam mengenali, memahami dan mengendalikan belia Generasi Z, khususnya dalam konteks institusi latihan kemahiran.
Perbincangan ini penting bagi membantu pihak institut memahami keperluan dan cabaran generasi muda dengan lebih dekat, seterusnya memperkukuh pendekatan bimbingan dan sokongan kepada pelajar.
Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen IKTBN Alor Gajah dan KBS dalam memastikan kesejahteraan emosi, pembangunan sahsiah dan ketahanan diri pelajar terus diberi perhatian, selaras dengan usaha melahirkan belia berkemahiran yang bukan sahaja kompeten dalam bidang teknikal, malah matang, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.