04/07/2026
ALUMNI TALK DECODE: BEHIND THE NUMBERS PERKASA KEMAHIRAN ANALISIS LAPORAN KEWANGAN MAHASISWA PERAKAUNAN
Machang, 28 Jun 2026 – Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Perakaunan (MemBACCs) telah berjaya menganjurkan program ALUMNI TALK, DECODE: Behind the Numbers yang berlangsung di HRD A, UiTM Cawangan Kelantan. Program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 145 orang, terdiri daripada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Perakaaunan (AC220/AC240) semester 4, ahli jawatankuasa program, penasihat persatuan, penceramah jemputan serta tetamu kehormat.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai kaedah membaca dan mentafsir laporan tahunan Syarikat tersenarai awam, di samping meningkatkan keupayaan mereka menganalisis prestasi kewangan melalui penggunaan nisbah kewangan seperti debt-to-equity ratio, liquidity ratio dan profitability ratio. Selain itu, program ini turut menggalakkan pemikiran kritikal, kemahiran membuat keputusan berdasarkan maklumat kewangan sebenar serta meningkatkan keyakinan pelajar dalam menilai kedudukan kewangan sesebuah syarikat secara holistik.
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Cik Nur Azlina Abdullah, Audit Associate, Ernst & Young (EY) Malaysia, menerusi ceramah bertajuk "Reading Between the Lines: Numbers to Narrative". Perkongsian ini memberi peluang kepada para peserta memahami pendekatan sebenar yang digunakan oleh profesional industri dalam mentafsir laporan tahunan syarikat serta menghubungkaitkan angka kewangan dengan prestasi dan risiko perniagaan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut didedahkan kepada aplikasi praktikal analisis laporan kewangan yang membantu merapatkan jurang antara pembelajaran teori di bilik kuliah dengan amalan sebenar dalam industri. Selain memperkukuhkan kefahaman terhadap bidang perakaunan dan kewangan, program ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil industri serta mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keperluan profesion perakaunan pada masa kini.
Secara keseluruhannya, penganjuran ALUMNI TALK, DECODE: Behind the Numbers telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan meningkatkan pengetahuan, kemahiran analisis serta keyakinan mahasiswa dalam mentafsir laporan kewangan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan perakaunan yang lebih kompeten, berfikiran kritis dan bersedia memenuhi kehendak industri serta menyumbang kepada pembangunan profesion perakaunan negara.