26/07/2026
Sambutan Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Paya Bakau Sedunia 2026 Perkukuh Kesedaran Pemuliharaan serta Usaha Menangani Hakisan Sungai Kilim, Langkawi
LANGKAWI, 25 Julai – Sambutan Hari Pemuliharaan Ekosistem Hutan Bakau Sedunia 2026 yang diadakan di Jeti Pelancongan Sungai Kilim telah berjaya mengumpulkan agensi kerajaan, ahli akademik, pengusaha pelancongan, komuniti setempat serta Sekolah Angkat Geopark dalam usaha memperkukuh pemuliharaan ekosistem bakau di Langkawi. Program ini dianjurkan oleh Koperasi Komuniti Kampung Kilim Langkawi Berhad (COOPKILIM) sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hutan bakau terhadap biodiversiti, perlindungan pantai dan kelestarian industri ekopelancongan.
Ucapan penghargaan turut ditujukan kepada Pengerusi COOPKILIM, En Omar Ariffin @ Pak Jang Omar, serta Pengurus Koperasi, En Imran Ismail atas komitmen dan kepimpinan dalam menjayakan program ini.
Turut hadir bersama Prof Madya Dr Ahmad Alfried Amir (LESTARI UKM) dan Tuan Amir Ayat (EcoKnights), En Othman Ayeb (Duta Geopark) yang masing-masing berkongsi pandangan serta kepakaran dalam aspek pemuliharaan alam sekitar dan penglibatan komuniti dalam pengurusan ekosistem bakau.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program termasuk taklimat berkaitan kepentingan ekosistem bakau, pengenalan spesies bakau, aktiviti penanaman anak benih, lawatan ke kawasan konservasi bakau serta sesi perkongsian bersama pakar mengenai cabaran dalam usaha pemuliharaan hutan bakau di Sungai Kilim.
Dalam usaha memperkukuh aspek penyelidikan dan pemantauan saintifik, UiTM Marine Research Station yang diketuai turut memainkan peranan penting melalui kajian lapangan, pemetaan hakisan tebing serta analisis impak aktiviti pelancongan terhadap ekosistem bakau. Stesen penyelidikan ini juga berfungsi sebagai pusat rujukan data saintifik yang menyokong cadangan pengurusan lestari Sungai Kilim serta menjadi penghubung kerjasama antara universiti, komuniti dan pihak berkuasa tempatan.
Dalam sesi perkongsian bertajuk "Bakau Kita, Sungai Kita, Periuk Nasi Kita", Ts. Dr. Jamil Tajam, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, membentangkan dapatan bahawa kawasan Sungai Kilim telah mengalami hakisan tebing yang ketara sehingga menyebabkan kehilangan kira-kira 13,676 meter persegi kawasan bakau, bersamaan hampir dua padang bola sepak bersaiz FIFA.
Beliau menjelaskan bahawa antara punca utama hakisan ialah ombak daripada bot pelancong yang bergerak pada kelajuan tinggi berhampiran tebing sungai. Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah mitigasi termasuk pelaksanaan zon had kelajuan, pemasangan boya bagi mewujudkan laluan bot yang lebih terkawal, serta pembinaan struktur pemecah ombak mesra alam bagi mengurangkan kesan ombak terhadap tebing bakau.
Kemuncak program menyaksikan perasmian projek Kilim Wave Breaker, iaitu satu inisiatif bagi mengurangkan hakisan tebing sungai dan melindungi habitat bakau di kawasan Sungai Kilim. Inisiatif ini dijangka menjadi projek perintis yang menggabungkan pendekatan kejuruteraan semula jadi dan pengurusan pelancongan lestari bagi memastikan ekosistem bakau terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Program ini turut membuka ruang kepada pengusaha bot, pemandu bot dan nelayan untuk bersama-sama membincangkan pendekatan terbaik dalam mengimbangi aktiviti ekopelancongan dengan usaha pemuliharaan alam sekitar. Kerjasama erat antara komuniti, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi termasuk UiTM Marine Research Station, dan pemain industri diyakini mampu memastikan Sungai Kilim kekal sebagai destinasi geopelancongan bertaraf dunia yang lestari.