11/09/2026
TOWNHALL JABATAN PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN & KOKURIKULUM BILANGAN 2 TAHUN 2026
Townhall Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan & Kokurikulum (JPJK&KO) Bilangan 2 Tahun 2026 telah diadakan sebagai wadah untuk menghimpunkan warga jabatan dalam meraikan pencapaian, menghargai sumbangan serta memperkukuh semangat kebersamaan. Bertemakan “Satu JPJK&KO, Bersama Membina Kecemerlangan”, program ini menjadi ruang untuk menelusuri perjalanan jabatan sepanjang Januari hingga Ogos 2026.
Program ini bertujuan menghargai usaha dan komitmen warga JPJK&KO serta menyemarakkan budaya kecemerlangan dalam kalangan siswa pendidik. Pencapaian siswa pendidik turut diraikan melalui Anugerah Dekan, MSIPGM, SUKIPT, SUKMA, inovasi, kokurikulum, kepimpinan, pengadilan dan kejurulatihan.
Townhall ini dianjurkan dengan penglibatan siswa pendidik PISMP PJ1825 sebagai Jawatankuasa Penganjur, di bawah bimbingan Puan Salmi binti Haji Lilek selaku Penyelaras 1 dan Puan Susan anak Musis Jantan selaku Penyelaras 2. Penglibatan ini menjadi medan untuk membina kepimpinan, kerja berpasukan dan profesionalisme sebagai bakal guru.
Sebagai tanda penghargaan, Townhall turut merakamkan jasa dan bakti Encik Abu Bakar Sham bin Jamil yang bakal menempuh alam persaraan. Segala dedikasi, sumbangan dan komitmen beliau dalam mendidik serta membimbing siswa pendidik amat dihargai dan akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga JPJK&KO.
Semoga semangat “Satu JPJK&KO” terus menyatukan seluruh warga jabatan untuk saling menghargai, menyokong dan bersama-sama melakar kecemerlangan demi melahirkan pendidik yang kompeten, berintegriti dan berkualiti.
“Jasa dikenang, budi dihargai, bakti kekal dalam ingatan.”