Sekolah ini mempunyai Aliran Perdana, Tingkatan 6 dan Pendidikan Khas. Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Jaya merupakan sekolah menengah yang pertama dibina dalam kawasan perumahan di Sarawak. SMK Matang Jaya terletak di Taman Matang Jaya, Jalan Matang yang ditadbir oleh Majlis Daerah Padawan. Sekolah ini dibina pada 25 Mei 2000 dan siap pembinaannya pada 18 Disember 2003 dengan kos binaan sebanyak RM38 juta. Sesi persekolahan 2004 bermula pada 5 Januari 2004 secara menumpang di SK Matang Jaya sehingga 24 Januari 2004. Sesi persekolahan secara rasmi bermula di bangunan sekolah ini adalah pada 26 Januari 2004. Turut dimulakan pada tahun yang sama adalah kelas Tingkatan 6 Rendah pada 21 Jun 2004. Pada 16 Januari 2005, SMK Matang Jaya secara rasminya telah menerima kehadiran pengetua pertamanya, iaitu Puan Saftuyah Bt Haji Adenan. Menjelang penghujung tahun 2005, bilangan tenaga pengajar bertambah kepada 58 orang dan staf sokongan kekal 10 orang. Kini, SMK Matang Jaya merupakan sekolah satu sesi yang mempunyai lebih daripada 38 buah kelas yang termasuk kelas Arus Perdana, arus Pendidikan Khas, arus Vokasional dan arus Tingkatan 6. Sejajar dengan itu, bilangan tenaga pengajar juga ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan pendidikan terbaik mampu disediakan oleh pihak sekolah. SMK Matang Jaya telah disenaraikan sebagai sekolah harian terbaik bagi keputusan SPM 2018 di bawah kawasan seliaan PPD Padawan. Berikut adalah nama pengetua SMK Matang Jaya:
1) 2005 - 2012 : Pn Hjh Saftuyah Hj Adenan (Pindah ke SMK Batu Lintang)
2) 2012 - 2013 : Tn Hj Mohamad Syariff Affendy (Bersara)
3) 2013 - 2018 : Pn Hajah Zakiah binti Abdul Hamid (Bersara)
4) 2019 - 2020 : Pn Judah binti Ahmad (Pindah ke JPN Sarawak)
5) 2021 - 2022 : En Hatta bin Arabi (Bersara)
6) 2023 - KINI : Pn Anita binti Hasbi